Tak perlu maklum polis kehadiran penyokong LGBT, kata penganjur demo

(Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penganjur himpunan sempena Hari Wanita Sedunia di ibu negara Sabtu lalu berkata kehadiran penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ke tunjuk perasaan tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada polis.

“Mereka nak sertai, sertai sahajalah. Feminisme itu sendiri untuk meraikan semua orang. Himpunan wanita adalah untuk semua” kata Presiden Gerakan Pembebasan Akademik, Azura Nasron.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman dan polis bahawa penganjur semasa menghantar notis tidak memaklumkan penyokong LGBT akan sertai himpunan tersebut.

Azura menjelaskan, penyokong LGBT tidak disebut dalam notis permohonan penganjur sebab himpunan itu tidak menyekat sesiapa untuk menyertainya.

Malah, tiada satu pun kumpulan dienaraikan dalam notis tersebut sebab ia tidak perlu.

“Kami bertemu pegawai-pegawai polis di Balai Polis Dang Wangi beberapa hari sebelum itu dan polis tidak bantah atau batalkan perhimpunan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Lim Wei Jiet senada dengan Azura, mengatakan tiada keperluan untuk menyenaraikan kumpulan yang menyertai tunjuk perasaan tersebut.

Lim, yang juga seorang peguam memberitahu, penganjur, bagaimanapun, perlu memaklumkan kepada polis nama mereka yang dijadualkan akan berucap.

Jelasnya, mengikut Akta Himpunan Aman 2012, Bahagian IV 10(e), penganjur perlu menyerahkan nama dan alamat penceramah pada himpunan tersebut.