Haram pembalakan, Sabah berdepan saman RM91.6 juta

Kerajaan negeri pimpinan Warisan mengharamkan eksport balak di Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat pengurusan hutan terbesar di Sabah menyaman kerajaan negeri sebanyak RM91.6 juta kerana mengharamkan eksport balak tahun lalu.

Boonrich Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan bekas ketua menteri Harris Salleh berkata, keputusan menggantung eksport balak bertentangan dengan perlembagaan dan merupakan diskriminasi terhadap perniagaannya.

Wakil Boonrich, Benn Osman berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 7 Mac.

Saman itu menamakan ketua pemulihara hutan sebagai defendan pertama dan kerajaan Sabah sebagai defendan kedua.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengarahkan pengharaman itu Mei lalu, termasuk balak yang ditanam, dalam satu tindakan drastik bagi memastikan bekalan bahan kayu mentah mencukupi bagi keperluan semasa kilang-kilang di negeri itu dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dalam afidavitnya, Pengarah Urusan Boonrich, Halijah Harris berkata, syarikat tersebut, yang menanam pokok jati sejak 27 tahun lalu bersedia untuk memotong dan mengeksport 64,828 daripada 220,000 kayu jati tahun lalu.

Katanya, syarikat tersebut mempromosikan penjualan kayu jati di dalam dan luar negara, tetapi hanya mendapat sambutan baik dari Dubai, India dan China.

Syarikat itu, antara yang pertama menanam balak, menerima sijil pendaftarannya sebagai pengeksport dan pembekal daripada defendan pertama pada 1 Jun 2017.

Halijah berkata, syarikat tersebut hantar 4 surat kepada defendan pertama dan 3 surat kepada defendan kedua antara 6 Sept tahun lalu dan 11 Jan lepas, untuk mendapatkan penjelasan dan meminta pengecualian daripada pengharaman atas alasan balaknya ditanam secara komersial di tanah asing, bukan di hutan semula jadi.

Defendan, katanya, hanya menjawab kepada 3 daripada 7 surat tersebut.

Saman ini adalah yang kedua terbesar ke atas kerajaan negeri. Sebelum ini, 5 syarikat konsesi air memfailkan saman RM254 juta kerana mendakwa kontrak mereka ditamatkan secara salah.