Kerajaan tak tutup Malaysia Airlines, kata Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini memberi jaminan kerajaan tidak akan tutup Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Memperjelaskan kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai isu tersebut semalam yang disalah tafsir, Lim berkata cadangan menutup syarikat penerbangan nasional itu sebenarnya satu dari opsyen yang dikemukakan kepada perdana menteri.

Lim berkata, penjelasan tersebut bermakna masa depan kakitangan syarikat penerbangan itu terjamin.

Semalam, Mahathir disebut sebagai berkata: “Saya rasa ia merupakan keputusan yang sangat serius untuk menutup syarikat penerbangan negara itu.

“Kami akan kaji situasi, sama ada menutupnya atau menjualnya atau membiayainya semula. Ini semua terserah kepada kerajaan untuk putuskan.”

MAB yang diswastakan bawah Khazanah National Bhd (Khazanah), mengalami kerugian lebih rendah tahun lepas disebabkan beberapa faktor, termasuk kekurangan anak kapal pada separuh kedua 2018.