Percanggahan antara pemegang saham punca pengarah urusan Bank Rakyat belum dilantik

Bank Rakyat diselia Akta Bank Kerjasama Rakyat Berhad 1978.

PETALING JAYA: Pengarah urusan baru Bank Rakyat belum dilantik susulan percanggahan pendapat antara pemegang saham bank itu.

FMT difahamkan kehadiran seorang “calon lawan” bagi menggantikan Pengarah Urusan, Zulkiflee Abbas merumitkan keadaan dalam Bank Rakyat, sebuah bank koperasi Islam di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Zulkiflee sedang bercuti sementara menghabiskan notis peletakan jawatannya yang akan tamat 2 April ini,” kata seorang sumber berkedudukan baik kepada FMT.

Menurutya, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof sudah memilih seorang calon “berkelayakan tinggi” sebagai pengganti Zulkiflee, tetapi “proses itu tidak berubah”.

“Saya tidak faham bagaimana ini boleh berlaku sedangkan mereka sudah tahu selama berbulan-bulan yang Zulkiflee akan pergi,” kata sumber itu sambil menambah pelantikan pengarah urusan baru sepatutnya dimuktamadkan beberapa bulan lalu.

“Tanpa seorang pengarah urusan, bank akan terbantut kerana tiada orang yang akan mengetuai fungsi eksekutifnya.

“Jika ini berlaku, Bank Negara tidak akan gembira.”

Difahamkan, Pengerusi Bank Rakyat, Noripah Kamso tidak boleh mengambil alih tugas pengarah urusan disebabkan isu tadbir urus baik.

Bank Rakyat diselia Akta Bank Kerjasama Rakyat Berhad 1978.

Akta itu memberi kuasa kepada Redzuan untuk memberi arahan kepada lembaga pengarahnya berhubung urusan bank berkenaan, termasuk pelantikan pengarah urusan yang memerlukan kelulusan menteri.

Semalam, FMT cuba mendapatkan maklum balas Noripah, tetapi gagal. FMT sedang menunggu respons Redzuan.