Reman suspek bunuh kanak-kanak 3 tahun disambung 7 hari

Polis hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya Abdullah di lokasi kejadian.

LANGKAWI: Tempoh reman terhadap 2 suspek utama disambung 7 hari hingga Rabu depan (20 Mac) bagi membantu siasatan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan 3 tahun di dalam gaung di Gunung Raya, minggu lepas.

Sebelum ini pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun itu direman bermula Khamis lalu (7 Mac) bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Mohd Iqbal Ibrahim berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Langkawi Muhamad Arof Darus.

“Muhamad Arof membenarkan permohonan reman itu disambung yang akan berakhir Rabu depan (20 Mac) di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Langkawi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu lepas (6 Mac), polis hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya semasa dalam jagaan pasangan tersebut.

Tengkorak dan cebisan mayat kanak-kanak yang dipercayai dibunuh itu ditemui selepas suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan berkaitan kes tersebut membawa polis ke lokasi di mana mayatnya dikatakan dibuang.

Sehari kemudian (7 Mac) operasi mencari saki-baki anggota badan mayat yang dipercayai Nur Aisyah Aleya di lokasi yang sama menemukan 2 gumpalan rambut serta 2 batang gigi.