Tak perlu berhabis duit ke luar negara, di Malaysia juga boleh bermain salji

Keseronokkan bermain salji pasti amat disukai oleh semua orang terutama sekali kanak-kanak.

Ibu bapa tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk mengembara jauh semata-mata hanya menikmati keunikan cuaca sejuk ini.

Malah hanya di bawah satu bumbung mana-mana keluarga dapat menikmati keunikan cuaca empat musim iaitu musim sejuk, luruh, bunga dan panas dalam lawatan dalam negara sahaja.

Tempat yang dimaksudkan adalah di Taman Botani, Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor yang mungkin kebanyakan orang tidak mengetahuinya ada Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM).

Menariknya, Rumah Empat Musim yang sentiasa menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara ini cukup lengkap dan sempurna.

Ia bagi membawa pengunjung menyelami suasana sebenar seperti perubahan cuaca di negara beriklim sejuk seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Rumah dengan keluasan kira-kira 2,438 meter persegi ini bertukar musim mengikut tempoh yang sama seperti negara lain, iaitu musim sejuk pada Disember hingga Februari; musim bunga (Mac hingga Mei); musim panas (Jun hingga Ogos) serta musim luruh (September hingga November).

Dan ketika musim sejuk pemandangan di Bukit Cerakah tidak ubah seperti berada di Kutub Utara, sambil merasai kesejukan salji sehingga menyucuk tulang.

Bangunan di dalam rumah ini berlatarbelakangkan pemandangan bersalji.

Membawa suasana lebih menakjubkan, rumah berkenaan diperindahkan lagi dengan hiasan kincir angin dan laluan berkayu menuju ke pagola utama.

Beberapa patung penguin, diperbuat daripada salji dan patung rusa menambah aura suasana musim sejuk, selain taburan salji tersangkut di pohon yang kekeringan menyerikan suasana.

Ternyata keadaan ini membuatkan sesiapa sahaja yang mengunjunginya pasti akan tersenyum gembira.

Dengan hanya membayar RM5 pengunjung boleh melawatnya di antara 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Tapi pastikan pengunjung membawa baju sejuk kerana ia tidak disediakan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]