Darell Leiking minta bukti AP disalahguna

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking meminta pihak yang mendakwa berlakunya penyelewengan lesen import (AP) diberi oleh kerajaan kepada 36 pemegang baru agar tampil mengemukakan bukti.

“Saya sendiri akan pastikan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan AP itu,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia hari ini.

Darell menegaskan semua pemegang baru AP itu dinilai oleh juruaudit dalaman dan luaran bagi memastikan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Awal minggu ini, sebuah laman automotif mendakwa berlakunya perbincangan antara pemegang AP baru dan sedia ada bagi “membeli” permit import (daripada pemegang baru) dengan setiap satunya berharga antara RM18,000 sehingga RM22,000.

Laman itu mendakwa ini berikutan pengurangan kuota tahunan AP kepada pemegang sedia ada bagi menampung penerima AP baru tersebut.

AP terbuka adalah kemudahan import permit yang diberi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang layak mengimport kenderaan terpakai untuk dijual di pasaran domestik.