Kementerian Kesihatan kaji umur, jenis vaksin untuk diwajibkan

Dzulkefly Ahmad memberi jaminan bekalan vaksin di hospital kerajaan dan swasta mencukupi ketika ini. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang meneliti kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak di negara ini dengan mengambil kira sasaran umur sesuai dan jenis vaksin.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia antara perkara dibincangkan dalam jawatankuasa kerja yang ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi berkaitan, sebelum kertas cadangan diserahkan kepada Kabinet.

“KKM dalam proses mendapatkan pandangan pelbagai pihak, ini termasuk agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan dan persatuan berkaitan dalam meneliti isu-isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan imunisasi,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung pendirian kementerian mewajibkan vaksinasi kanak-kanak, susulan peningkatan kes difteria di Johor.

Perkara lain yang turut diteliti ialah tanggungjawab ibu bapa, pusat jagaan, taman asuhan dan sekolah, tanggungjawab penyedia perkhidmatan imunisasi, pengecualian, bayaran perkhidmatan, penalti dan penguatkuasaan.

Dzulkefly berkata, sehingga kini, pelbagai program dan aktiviti advokasi dijalankan di semua peringkat bagi menangani isu keraguan serta penolakan vaksin, termasuk bekerjasama dengan NGO, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pejabat mufti negeri untuk membetulkan pandangan masyarakat, terutama berkaitan hukum dan fatwa imunisasi.

Menjawab soalan tambahan Adham Baba (BN-Tenggara) yang ingin tahu situasi bekalan vaksin di hospital kerajaan dan swasta, Dzulkefly memberi jaminan bekalan itu mencukupi.