Kerajaan tambah kontraktor, percepat proses pembersihan Sg Kim Kim

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata, pihaknya memantau kualiti udara di kawasan kejadian kerana proses pengewapan bahan kimia berpotensi merebak ke kawasan lain.

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata kerajaan akan melantik satu lagi kontraktor bagi mempercepatkan proses pembersihan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, kerajaan negeri Johor sebelum ini menyasarkan tempoh 7 hari bagi membersihkan sungai tersebut secara keseluruhan, namun penambahan kontraktor yang dilantik Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempercepatkan proses tersebut.

“Ketika ini 3 kontraktor dilantik kerajaan negeri sudah beroperasi untuk membersihkan Sungai Kim Kim dalam masa 7 hari dan penambahan kontraktor lantikan JAS boleh percepatkan proses kurang daripada tempoh tersebut.

“Tetapi semua ini bergantung kepada proses pengewapan bagi memastikan tiada sumber baru pencemaran di sungai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Kata Yeo, pihaknya sedang berusaha memantau kualiti udara kerana proses pengewapan bahan kimia berpotensi merebak ke kawasan lain.

“Sebab itu kerja-kerja pembersihan perlu dipercepatkan segera.

“Namun kadar pengorekan di sungai dijalankan dengan terkawal dan berhati-hati supaya tidak berlaku proses pengewapan dengan terlalu pantas,” katanya.

Sehingga kini, semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup dan lebih 200 orang dirawat kerana terhidu gas bahan kimia itu.

Penyiasat dari Jabatan Alam Sekitar mengenal pasti sisa bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim mengeluarkan gas metana dan benzena yang mudah terbakar.

Beberapa suspek ditahan sejak 7 Mac lalu, termasuk seorang pemilik syarikat tayar kitar semula, seorang pemilik kilang memproses bahan kimia, seorang lagi pemilik kilang memproses bahan lusuh dan pekerjanya yang berusia 50-an di Pasir Gudang.