Lynas tak tahu cadangan pinda akta kawal selia aktivitinya

Amanda Lacaze mempertahankan operasi Lynas di Gebeng, Kuantan adalah selamat dan berisiko rendah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lynas Malaysia berkata, ia tidak tahu kemungkinan akta mengawal selia aktivitinya akan dipinda, susulan perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, syarikat itu tidak diberikan sebarang maklumat berhubung kemungkinan meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (AELA).

Perkara itu dibangkitkan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) dalam sidang Dewan Rakyat semalam, yang ingin tahu bagaimana cadangan pindaan akta itu boleh membantu dalam pengurusan bahan radioaktif semulajadi (Natural Occurring Radioactive Material – NORM).

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, draf pindaan AELA kini di peringkat akhir.

Katanya, pindaan itu akan merangkumi skop kuasa lebih jelas berhubung aspek keselamatan, perlindungan keselamatan, mengukuhkan undang-undang dan pengurusan bahan radioaktif di luar skop sedia ada, termasuk bahan pepejal, cecair dan gas.

“Kami anggap sebarang perubahan akan diguna pakai ke atas semua industri yang dikawal selia Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, termasuk pemprosesan minyak dan gas serta keluli,” kata Lacaze kepada FMT.

Amanda Lacaze.

Difahamkan, sisa NORM ialah keluaran sampingan daripada aktiviti penyahtauliahan salah sebuah syarikat petroleum terbesar di Malaysia.

Penyahtauliahan dalam industri minyak dan gas merujuk proses menamatkan operasi luar pesisir dan melupuskan peralatan yang digunakan ketika proses pengeluaran minyak.

Lacaze turut mempertahankan operasi Lynas di Malaysia adalah selamat dengan memetik kenyataan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant yang membuat kesimpulan syarikat itu mematuhi semua undang-undang berkaitan.

“Lebih penting lagi, mereka mengesahkan operasi Lynas Malaysia berisiko rendah, sejajar penemuan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa pada 2014 yang risiko operasi Lynas Malaysia adalah rendah.”

Lynas ialah satu-satunya syarikat perlombongan nadir bumi di luar China. Nadir bumi yang diproses di kilangnya di Kuantan, Pahang, penting untuk pengeluaran kenderaan elektrik, komputer dan telefon bimbit.