Menteri: 8 kilang guna bahan kimia boleh sebabkan pencemaran turut disiasat

Menteri Tenaga, sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, pengusaha kilang sepatutnya mengikut jadual pembuangan sisa dan membawa keluar sisa bahan kimia ke tapak pelupusan yang berlesen.

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata, setakat ini sebanyak 8 buah kilang di seluruh negara sedang disiasat susulan pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, pemantauan tersebut sedang dijalankan bagi memastikan pengusaha kilang tidak membuang sisa bahan kimia ke dalam sungai.

“Buat masa ini sebanyak 8 kilang yang menggunakan bahan kimia yang sama sedang diperiksa dan mereka tidak akan berdepan dengan sebarang masalah jika bahan kimia mereka masih berada dalam simpanan.

“Kita akan tengok kilang yang sudah tidak ada bahan kimia berkenaan. Premis itu akan disiasat lebih lanjut bagi memastikan ia tidak dibuang merata-rata,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa yang sama, Yeo menasihatkan supaya pengusaha kilang yang memiliki bahan berbahaya tidak panik sehingga mencemarkan alam sekitar.

“Pengusaha kilang sepatutnya mengikut jadual pembuangan sisa dan membawa keluar sisa bahan kimia ke tapak pelupusan yang berlesen.

“Pihak penguatkuasa sedang membuat pemeriksaan di kilang terlibat dan biarpun kalau mereka didapati tidak mematuhi undang-undang, kita tidak mahu mereka panik sehingga membuang sisa kimia itu,” katanya.

Yeo menambah, pihak berkuasa juga mengadakan sekatan jalan pada waktu malam bagi mengelakkan pengusaha dan pekerja kilang daripada membuang sisa bahan kimia merata-rata.

Sehingga kini, semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup dan lebih 200 orang dirawat kerana terhidu gas bahan kimia.

Penyiasat dari Jabatan Alam Sekitar mengenal pasti sisa bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim mengeluarkan gas metana dan benzena mudah terbakar.

Beberapa suspek ditahan sejak 7 Mac lalu, termasuk seorang pemilik syarikat tayar kitar semula, seorang pemilik kilang memproses bahan kimia, seorang lagi pemilik kilang memproses bahan lusuh dan pekerjanya yang berusia 50-an di Pasir Gudang.