Pendakwaan kes buang sisa kimia Sungai Kim Kim ditangguh

Kes disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000 jika disabit kesalahan.

JOHOR BAHRU: Pendakwaan ke atas seorang pengusaha kilang tayar kitar semula yang dipercayai membuang sisa kimia ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, belum dapat dilakukan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, pendakwaan belum dapat dilakukan berikutan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu melengkapkan kertas siasatan.

“Kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan pihak JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut.

“Pendakwaan masih belum lagi dapat dilakukan sehingga mendapatkan arahan lanjut daripada pihak timbalan pendakwa raya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah, di sini, seawal 7 pagi tadi, untuk membuat liputan mengenai pendakwaan kes tersebut.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian itu diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000, jika disabit kesalahan.

Dr Sahruddin Jamal menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sekali gus berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenainya.

“Berhentilah menangguk di air yang keruh. Janganlah mengeruhkan lagi keadaan dalam ujian yang kita semua kena hadapi di Pasir Gudang sekarang ini,” katanya menerusi catatan dalam laman Facebook beliau, yang dimuat naik, malam tadi.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong berkata, beliau masih ingat kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 yang mana semua pihak bersatu padu sebagai rakyat Malaysia berdoa dan menghulurkan bantuan ke sana.

“Waktu itu tidak ada taruhan politik lagi. Bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti. Waktu itu tidak ada PAS, Umno atau DAP. Semuanya bersatu atas semangat negara bangsa. Ini ‘common sense’. Semangat kemanusiaan,” katanya.