Protes terhadap komuniti LGBT tidak harus menjadi ganas, kata duta AS

Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir (kiri) menyampaikan sijil mengiktiraf Sharifah Shakirah sebagai calon Malaysia untuk anugerah ‘International Women of Courage’, Jabatan Negara AS.

KUALA LUMPUR: Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir menggesa rakyat Malaysia terus hidup aman dengan berkata, protes terhadap komuniti LGBT tidak harus membawa kepada keganasan.

Beliau berkata, berlaku beberapa kes keganasan baru-baru ini yang melibatkan individu transgender, dan berharap keselamatan serta sekuriti semua orang, termasuk daripada komuniti LGBT terus diutamakan.

“Kami (AS) menyokong hak LGBT dan komuniti itu, terutamanya mereka tidak sepatutnya berdepan layanan ganas.

“Saya fikir, tiada sesiapa di Malaysia yang mahukan keadaan itu,” katanya di luar satu acara semalam.

Pada Januari, seorang wanita transgender ditemui mati di Bukit Tinggi, Klang, sebulan selepas pembunuhan seorang lagi transgender di kawasan yang sama.

“Debat tentang undang-undang boleh ada, tetapi tidak harus ada keganasan,” kata Kamala, dengan menambah bahawa debat LGBT di Malaysia “terseleweng” kerana landskap politik dan sosial tempatan.

Sabtu lepas, satu perhimpunan yang disertai aktivis LGBT dan beberapa NGO diadakan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Kumpulan itu menuntut dihentikan keganasan berasaskan gender dan orientasi seksual. Mereka juga menuntut ditamatkan perkahwinan bawah umur, sekali gus memberikan wanita lebih banyak hak ke atas tubuh badan serta kehidupan mereka.

Perhimpunan itu juga mendesak gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,800 sebulan.

Penganjur acara tersebut kini disiasat oleh pihak polis kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Dalam pada itu, Putrajaya berkata ia tegas menolak LGBT.

Kamala bercakap di kediaman rasmi beliau sempena acara menghargai aktivis Rohingya Sharifah Shakirah, dan meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa serta Bulan Sejarah Wanita di AS.

Shakirah, 24, merupakan calon kedutaan AS untuk mewakili Malaysia bagi anugerah “International Women of Courage” (Wanita Waja Antarabangsa), Jabatan Negara AS – anugerah tahunan bagi mengiktiraf pencapaian wanita.

Beliau mengasaskan Rohingya Women Development Network – kumpulan wanita Rohingya tempatan yang pertama – dan menganjurkan sesi mempelajari al-Quran serta kelas mengenai kesihatan seks reproduktif.

Sewaktu berumur 5 tahun Shakirah melarikan diri dari Myanmar dengan keluarganya untuk bertemu bapa mereka yang berada di Malaysia. Beliau kemudiannya menjadi aktivis bagi komuniti Rohingya yang berada di negara ini.

Shakirah merupakan calon bukan-tempatan pertama dicalonkan sebagi wakil Malaysia untuk anugerah itu. Calon sebelum ini, termasuklah aktivis hak transgender, Nisha Ayub dan aktivis hak wanita, Irene Fernandez.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan wakil pertubuhan sivil serta aktivis terkenal.