Tiada permintaan dari Johor, Putrajaya tolak usul isytihar darurat

KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini menolak usul mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang selepas ia dibahaskan Dewan Rakyat petang tadi, kerana tiada permintaan rasmi daripada kerajaaan Johor.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata kerajaan negeri perlu membuat permintaan rasmi untuk memulakan proses mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, yang dicemari toksik berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Usul minta darurat tak diterima kerana tidak ada permintaan rasmi daripada kerajaan negeri setakat ini. Mereka boleh uruskannya sendiri dan kerajaan pusat hanya hantar bantuan ketika ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hanipa menambah Dewan Rakyat membahaskan usul tersebut kerana merasakan ia mendesak dan berkepentingan awam.

Beliau menjelaskan darurat perlukan faktor tertentu seperti kematian yang ramai dan ancaman keselamatan awam.

Kerajaan negeri seterusnya perlu mendapatkan pengesahan daripada jawatankuasa bencana pusat terlebih dahulu sebelum mengisytiharkan darurat.

“Tapi dalam isu ini, kerajaan negeri masih boleh mengawal keadaan namun mereka dibantu oleh tentera, polis, bomba dan pasukan Hazmat,” katanya.

Mengenai mesyuarat Kabinet itu esok, Hanipa berkata kes pencemaran akan dibincangkan jemaah menteri tetapi tidak akan timbul lagi isu darurat.

“Setakat ini belum ada permintaan dengan kerajaan negeri, tapi kita tak biarkan begitu sahaja, kerajaan tetap membantu.”

Sehingga kini, media melaporkan kira-kira 900 mangsa sedang dirawat kerana pencemaran itu.

Kes pencemaran toksik di Pasir Gudang masuk hari ke-8 hari ini, menyaksikan jumlah kes keracunan meningkat dengan 9 daripada mangsa sedang dirawat di unit rawatan kecemasan.

Kerajaan mengarahkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup sehingga situasi kembali pulih, dan peruntukan kecemasan dikeluarkan untuk kerja-kerja pembersihan kimia dan bantuan kepada mangsa.