21 bahan kimia dikesan dekat Sungai Klang, kata exco

21 bahan kimia ditemui dalam sampel air di kawasan pencemaran di Taman Eng Ann, Klang.

KLANG: Sebanyak 21 bahan industri mengandungi kimia ditemui berdasarkan laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel air di kawasan pencemaran di Taman Eng Ann, berhampiran Sungai Klang.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana Teng Chang Kim berkata, secara keseluruhan keadaan pencemaran di kawasan itu terkawal.

Orang awam, katanya, perlu bertenang serta tidak menyebarkan maklumat palsu.

“Laporan awal daripada makmal mendapati 21 bahan kimia dikesan. Kita masih menunggu hasil keputusan penuh untuk menentukan bahan kimia dibuang dan bentuk tindakan yang sesuai.

“Sejak semalam, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berusaha menyerap dan menyekat sisa buangan.

“Luas juga sudah menutup tali air Bukit Kuda bagi mengelakkan sisa buangan masuk ke Sungai Klang.

“Kerja pembersihan sudah dimulakan dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh 2 hari,” katanya pada sidang media di Jalan Kasawari 2, Taman Eng Ann, Klang.

Teng berkata, siasatan awal mendapati sisa industri itu dibuang di 2 lokasi iaitu kawasan takungan air banjir dan beberapa longkang sekitar yang menghubungkan laluan air sepanjang 1.5km ke Sungai Klang.

Setakat ini, sisa industri yang terdapat di kolam takungan air banjir tidak mengalir ke longkang dan akan disedut sepenuhnya sebelum dilupuskan.

Teng Chang Kim (kanan) ketika meninjau kawasan kolam yang mengandungi bahan kimia.

Pasukan forensik polis juga tiba di kawasan kejadian bagi menyiasat kejadian dan mengambil sampel bahan kimia.

Sebelum ini, Unit Bencana Negeri Selangor digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu Luas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan menggunakan langkah mengatasi bencana.

Teng yang juga Adun Bandar Baru Klang, mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat pantas mengenai kejadian ini semalam.

Dalam sidang media sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS, Zuraini Ahmad Tajudin memaklumkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Air Alam Sekeliling 1974.

Jika disabitkan kesalahan, individu atau syarikat terlibat boleh didenda RM100,000 atau penjara maksima 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang, ASP Harun Abu Bakar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya membuka 2 kertas siasatan selepas menerima laporan polis dibuat Luas semalam.