40 maut, 4 ditahan dalam serangan di masjid New Zealand

Polis menahan seorang suspek selepas tembakan dilepaskan di 2 masjid di Christchurch, New Zealand, tengah hari tadi. (Gambar Reuters)

WELLINGTON: Empat puluh maut dan lebih 20 lagi parah dalam serangan ke atas 2 masjid di New Zealand, hari ini, yang disifatkan Perdana Menterinya, Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas.

Kejadian yang berlaku ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat di bandar Christchurch itu ialah tembakan rambang terburuk dalam sejarah New Zealand dan dikecam negara Asia.

“Kami percaya 40 orang kehilangan nyawa dalam tindakan keganasan melampau ini. Adalah jelas ini hanya boleh disifatkan sebagai serangan pengganas.”

Ardern berkata, 30 orang terbunuh di Masjid Al Noor, manakala 10 lagi di sebuah masjid di pinggir bandar Linwood.

Katanya, New Zealand diletakkan dalam tahap ancaman keselamatan tertinggi dan 4 suspek yang ditahan itu berfikiran ekstremis, tetapi tidak berada dalam senarai pengawasan polis.

Seorang penembak bertindak merakam dan menyiarkan video secara langsung sepanjang proses dia memandu ke sebuah masjid dan melepaskan tembakan rambang ke atas jemaah dalam masjid.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan ketulenan rakaman video itu.

Seorang saksi di Masjid Al Noor memberitahu media, penembak berkulit putih dan berambut perang muda itu, memakai topi keledar dan jaket kalis peluru. Dia menyerang masjid itu ketika jemaah bersolat.

“Dia ada senjata besar…dia datang dan mula tembak semua orang dalam masjid di merata tempat,” kata Ahmad Al-Mahmoud yang berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan pintu kaca.

4 suspek ditahan

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, 4 suspek terdiri daripada 3 lelaki dan seorang wanita ditahan.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata, seorang daripada suspek lelaki itu ialah warga Australia.

Polis berkata, peranti peledak yang diperbaiki (IED) ditemui dalam sebuah kenderaan dihalang polis.

Beliau tidak menolak kemungkinan serangan itu hanya berlaku di Christchurch dan berkata: “Ketika ini, kita tidak patut membuat andaian.”

Polis pula memberi amaran berhubung perkongsian “rakaman menyayat hati” kejadian tembakan itu.

“Polis tahu ada rakaman sangat menyayat hati berkaitan kejadian di Christchurch tersebar dalam talian,” kata polis New Zealand di Twitter.

“Kami menggesa pautan itu tidak dikongsikan. Kami sedang berusaha memadamkan sebarang rakaman.”

Polis turut meminta semua masjid di New Zealand ditutup.

Jurulatih pasukan kriket Bangladesh berkata, pemainnya yang tiba untuk menunaikan sembahyang Jumaat ketika tembakan berlaku, terselamat dalam kejadian itu.