Adun nafi pondok nelayan akan diroboh untuk kerja penambakan

Surat mengarahkan nelayan merobohkan pondok dan bangsal dalam tempoh 14 hari.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan sekumpulan nelayan Teluk Kumbar yang berkata wakaf dan tempat mendarat akan diroboh untuk memberi laluan kepada kerja penambakan 3 pulau buatan.

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Abd Aziz berkata, dakwaan lebih 200 pondok dan bangsal akan diroboh tidak benar.

“Notis berkenaan dikeluarkan hanya untuk 17 bangsal/pondok/premis yang terletak di kuala Sungai Teluk Kumbar yang terlibat dengan rancangan tebatan banjir Teluk Kumbar yang diluluskan peruntukannya,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, sekumpulan nelayan mendakwa mereka menerima surat daripada pejabat tanah mengarahkan mereka meroboh binaan di sepanjang pantai sebelum hujung bulan ini.

Walaupun surat itu tidak menyatakan sebab-sebabnya, kumpulan nelayan merasakan ia untuk projek pulau buatan.

Azrul berkata projek tebatan banjir itu dijangka bermula bulan depan dan siap dalam tempoh 2 tahun.

Ia menelan kos RM10 juta dan menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada 5,000 penduduk setempat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung serta mengurangkan kejadian banjir sehingga 80%,” katanya.