Bicara Teresa Kok saman pemimpin sayap kanan bermula Julai

Teresa Kok mendakwa ucapan Azwanddin Hamzah mengandungi perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berhubung ucapan berbaur fitnah ditetapkan selama 3 hari bermula 29 hingga 31 Julai depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Rohani Ismail menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam K Murali yang mewakili Kok.

“Pada 24 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan lanjut kes ini,” kata Murali kepada pemberita selepas pengurusan kes itu, hari ini.

Pada 8 Jan lepas, Kok memfailkan saman itu dan menamakan Azwanddin atas kapasiti peribadi dan selaku Presiden JMM sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutannya, Kok berkata pada 25 Dis 2018 pada satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor, Azwanddin sebagai Presiden JMM menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan.

Plaintif mendakwa ucapan itu diterbitkan semula oleh defendan menerusi portal media dalam talian di dalam dan luar negara.

Beliau mendakwa ucapan itu dalam pengertian biasa dan pengertian semula jadi bermaksud antara lain beliau bersifat rasis, menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri dan bertindak secara tidak adil serta tidak jujur, tidak beretika dan tidak berprinsip sebagai seorang menteri.

Kok mendakwa ucapan itu juga dalam pengertian biasa dan pengertian semula jadi adalah tidak benar, berniat jahat, secara sengaja dan dilakukan tanpa mengambil kira kebenaran mengenai perkara itu dan secara serius membawa kemudaratan kepada reputasi plaintif.

Beliau juga mendakwa defendan menyebabkan penerbitan ucapan tersebut dengan niat dan motif untuk memfitnah plaintif atas kapasiti peribadi dan rasmi dan dibuat secara “mala fide” dan niat jahat.

Menteri itu mendakwa ucapan tersebut diterbitkan dengan tujuan menghasut orang awam dan memburuk-burukkan plaintif dan disampaikan secara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai dan secara khusus dibuat bagi mendapat sensasi murahan untuk mencetuskan kekacauan dan kemungkinan membawa bahaya secara fizikal dan kemudaratan lain kepada plaintif.

Akibatnya, ia menyebabkan plaintif mengalami kesengsaraan, kerisauan dan menanggung aib, dan oleh itu, plaintif berhak memperoleh ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Kok berkata beliau pada 26 dan 31 Dis 2018 menghantar surat tuntutan melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepadanya tetapi ia tidak diendahkan dan defendan enggan berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi untuk menghalang defendan sama ada melalui ejen dan/atau mana-mana orang lain daripada terus menuturkan, menulis atau menerbitkan ucapan yang sama, dan juga kos.