Kelantan cuba elak pertembungan undang-undang berkait Orang Asli, kata sumber

Putrajaya berkata, langkah kerajaan Kelantan memberi lesen balak kepada syarikat persendirian menggugat hak Orang Asli ke atas tanah adat dan sumber mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan berusaha membatalkan saman berhubung dakwaan pencerobohan terhadap petempatan Orang Asli di Gua Musang, sekali gus mengelak pertembungan undang-undang dengan Putrajaya, kata sumber.

Seorang daripada sumber berkata, kerajaan negeri memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu minggu lepas atas hujah kerajaan persekutuan tidak mempunyai asas undang-undang untuk membawa kes tersebut terhadap pentadbiran negeri.

“Kerajaan negeri juga beranggapan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut atas alasan perlembagaan,” katanya yang enggan dikenali kepada FMT.

Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 27 Mac ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di depan hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Sumber berkata, kerajaan negeri melantik peguam Khoo Guan Huat, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, sementara peguam kanan persekutuan, Kamal Azira Hassan mewakili Putrajaya.

Pada awal Januari, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Putrajaya memutuskan untuk memailkan saman tersebut – yang pertama kali dibuat oleh kerajaan persekutuan, bagi melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Putrajaya juga memohon injunksi bagi menghentikan syarikat persendirian daripada mencerobohi tanah adat berkenaan bagi menjalankan kegiatan perniagaan.

“Penerima faedah saman ini ialah Orang Asli. Mereka tidak perlu membayar kos guaman saman ini,” kata Tommy dalam satu kenyataan.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian, pengarah Jabatan Hutan negeri dan 5 entiti persendirian sebagai responden.

5 entiti tersebut ialah Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd.

Kerajaan Kelantan dan agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen membalak kepada syarikat persendirian yang membenarkan mereka masuk ke tanah adat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, dekat Gua Musang.

Kawasan hutan yang luas dilaporkan ditebang bagi pembukaan ladang durian dan getah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, perbuatan itu menyebabkan Orang Asli Temiar kehilangan tanah adat dan sumber hidup mereka, sekali gus menyebakan hakisan meluas, pencemaran dan kerosakan kekal ke atas ekologi dan landskap Pos Simpor.

“Kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum mengeluarkan lesen balak itu atau menawarkan pampasan kerana kehilangan tanah adat dan sumber tersebut,” katanya.

Ia berkata, walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, hutan dan galian, namun ia juga tertakluk kepada tanggungjawab penting dan khas untuk melindungi dan memelihara kebajikan Orang Asli Temiar.