Nor Aida bersyukur suaminya terselamat, sepatutnya sembahyang di Masjid Christchurch tapi tak jadi pergi

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Christchurch bersyukur kejadian tembakan rambang yang berlaku ketika solat Jumaat awal hari ini di salah sebuah masjid di sana tidak menimpa suaminya.

Menurut perkongsian Nor Aida Baharudin, sepatutnya hari ini suaminya akan solat di Masjid Al Noor dimana tempat kejadian itu tetapi membatalkan niatnya atas sebab kekangan kerja.

Kebiasaannya setiap hari Jumaat suaminya akan berada awal di masjid itu sementara menunggu waktu solat namun mujur hari ini beliau tidak ke sana.

Ketika kejadian tembakan berlaku, Nor Aida sedang berniaga trak makanan di pusat bandar berkenaan sebelum menerima panggilan daripada suami, Japi Zin Sulaiman memberitahu tentang serangan tersebut.

Suaminya terus meminta supaya Nor Aida dan empat orang anaknya untuk berkemas dan kembali segera ke rumah.

Dia juga tidak menyangka serangan itu berlaku kerana rakyat New Zealand terkenal dengan sikap ramah dan mereka sentiada melayan pelancong dengan baik.

Selama lebih 18 tahun berhijrah ke sini, ini kejadian paling buruk pernah kami lalui.

Kejadian itu dianggap yang terburuk dalam sejarah New Zealand dan ia turut diakui oleh Perdana Menteri, Jacinda Arden.

Nor Aida yang juga seorang pengusaha agensi pelancongan juga memberitahu bahawa suami dan anak perempuannya masih berada di pejabat serta universiti kerana pihak berkuasa tidak membenarkan mereka pulang sehingga keadaan selamat.

Menurut Nor Aida lagi, Masjid Al Noor itu terletak di kawasan Riccarton iaitu kira-kira 12 kilometer dari kediamannya dan antara masjid yang menjadi tumpuan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Masjid itu adalah yang terbesar di Christchurch dan menjadi tumpuan umat Islam di sini untuk menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu lain.

Ia juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang berada di sini.

Tambahnya lagi, terdapat kira-kira 300 rakyat Malaysia berada di Christchurch termasuklah pelajar.

Semua premis pentadbiran dan sekolah diarahkan ditutup sementara sehingga keadaan di sahkan selamat.

Selain itu, penduduk Christchurch juga diarahkan untuk berada di rumah masing-masing dan mereka mengikuti perkembangan semasa menerusi laporan televisyen.

Insiden tembakan secara rambang yang berlaku di masjid Christchurch dilaporkan sehingga kini menyebabkan 40 orang jemaah terbunuh dan lebih 20 lagi cedera.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]