Umno kini diketuai pemimpin yang mensyukuri kekalahannya dalam PRU14

Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan.

PETALING JAYA: Sepuluh bulan selepas kehilangan kuasa, diikuti pertukaran pemimpin utamanya, puluhan pertuduhan rasuah dan pembekuan asetnya, Umno sedikit demi sedikit mula memahami realiti menjadi pembangkang.

Masa depannya kini berada d tangan seorang pemimpin yang tidak pernah terkenal di peringkat nasional – Mohamad Hasan – bekas pemain bola sepak negeri yang sehingga Mei tahun lepas berpuas hati dengan peranannya memimpin sebuah negeri kecil di Malaysia, Negeri Sembilan.

Mohamad tidak menyembunyikan pandangan beliau bahawa parti, yang diakui peranannya dalam mendapatkan kemerdekaan dan membangunkan Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi itu, wajar dijatuhkan.

“Saya percaya kekalahan Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 adalah rahmat.

“Parasit dalam parti telah tiada. Ramai sudah sedar. Kita kalah sebab kita sombong dan ego. Orang menyampah. Sifat ini kita kena kikis,” kata Mohamad, atau Tok Mat, dalam satu temu bual dengan FMT baru-baru ini.

Dengan akaun Umno dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, beliau perlu membiasakan semula dirinya dengan kehidupan korporat yang pernah ditinggalkan untuk menyertai politik suatu masa dulu.

Bekas pengarah urusan Cycle and Carriage, syarikat pengedar utama Mercedes-Benz di Malaysia itu berkata, satu cara untuk Umno terus hidup ialah dengan menjual sebahagian daripada asetnya yang banyak, termasuk hartanah serta syarikat yang bernilai berbilion ringgit.

“Umno sebuah pertubuhan besar dan memerlukan wang yang banyak untuk mengurusnya. Mengurus ibu pejabat sahaja memakan belanja besar,” katanya. “Sekarang untuk bayar gaji pun susah.”

Aset Umno termasuklah Pusat Dagangan Dunia Putra dan beberapa hartanah lain di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Tok Mat muncul di tengah medan sewaktu keadaan mula kelihatan lebih baik untuk parti Melayu itu.

Ia memenangi 2 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum Mei tahun lepas. Pertama di Cameron Highlands di Pahang dan kemudiannya di Semenyih, Selangor.

Kemenangan yang mendorong pemerhati untuk menyimpulkan bahawa asas sokongan tradisinya, yang selama ini memastikan parti itu terus-menerus berkuasa sebanyak 13 kali selepas kemerdekaan negara, masih kukuh.

Tahun lepas, sewaktu parti itu masih bergelut dengan kekalahan tak terduga dalam PRU14, 900 akaun bank yang dikaitkan dengannya dibekukan berhubung transaksi melibatkan skandal 1MDB.

Pada waktu itu juga, beberapa ahli Parlimennya bertindak meninggalkan parti, sementara pemimpin tertingginya disiasat dan sesetengahnya didakwa. Wang bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi Umno.

Hari ini, dengan sedikit sinar yang menjamin kelangsungan hayat politiknya berikutan kemenangan dalam PRK baru lepas, Umno perlukan “bekalan” untuk terus bernafas.

Bermula semula dari langkah pertama juga bermakna parti itu perlu menilai semula keseluruhan polisi komunikasinya.

Sebelum ini, ia melabur dalam syarikat media besar. Kawalannya ke atas firma terbabit berterusan, hatta pada saat media tradisional mula kehilangan wang dan pengaruh.

Salah satu daripada syarikat itu ialah Kumpulan Utusan, yang akhbar utamanya, Utusan Malaysia, terus dipertahankan penerbitannya dengan wang daripada Umno.

Bulan lepas, Umno melepaskan pegangannya sebanyak 31.6% dalam syarikat itu. Ini bermakna, tidak ada lagi wang yang akan disuntik bagi menyokong syarikat tersebut.

Ia juga akan menarik diri dari syarikat media lain, termasuk Media Prima – konglomerat media terbesar negara yang turut memiliki stesen penyiaran persendirian, TV3.

“Kita akan menjual pegangan kita dalam Media Prima. Tidak banyak yang boleh kita buat dengannya dan kita juga tidak ada wakil dalam lembaga pengarahnya.

“Paling tidak ia boleh menampung perbelanjaan kita untuk 2 tahun setengah,” katanya.

Kerjasama Umno-PAS

Umno kini hanya menguasai 2 kerajaan negeri, tetapi Mohamad masih optimis tentang masa depan parti itu.

Salah satu sebabnya, kata beliau, ialah orang Melayu masih menyokong parti itu.

“Adakah cawangan Umno yang dibubarkan? Tidak ada. Di bahagian saya, kedatangan ahli ke mesyuarat lebih ramai kerana semangat mereka berkobar-kobar sekali,” kata beliau.

“Inilah kekuatan Umno. Kekuatan Umno bukan di atas. Bukan presiden, bukan timbalan presiden atau saya, tetapi ahli di bawah.”

Dengan 22,000 cawangan Umno masih utuh, keadaan serupa tidak dinikmati oleh 2 lagi parti komponen BN yang masih kekal, iaitu MCA dan MIC.

Justeru, apakah nilai 2 parti tersebut kepada Umno?

Mohamad berkata, 2 parti itu harus kreatif dalam merebut semula sokongan mereka yang hilang.

Kata beliau, Umno telah menemui kekuatannya dengan bekerjasama dengan bekas musuh tradisinya, PAS.

“Bila Umno dan PAS bekerjasama, BN akan menjadi lebih kuat kerana Umno juga bertambah kuat. Kalau MCA dan MIC boleh mencontohi langkah Umno dan PAS, saya fikir itu satu rahmat. Kita telan ego kita. Ini untuk rakyat.”

Mohamad tampak defensif apabila disoal tentang implikasi kewujudan pembangkang yang bahagian utamanya terdiri daripada 2 parti terbesar orang Melayu-Islam di negara ini.

Beliau percaya bahawa perpaduan orang Melayu merupakan kunci kestabilan negara ini. Justeru Umno tidak berfikir 2 kali dalam mewujudkan kerjasama dengan PAS, yang seperti Umno, menguasai 2 negeri majoriti besar orang Melayu, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Beliau menolak tanggapan bahawa Umno tunduk kepada nilai-nilai yang dibawa oleh PAS, namun mengakui kewujudan kebimbangan lama, iaitu Umno cuba menyaingi dasar Islam PAS dengan bergerak ke arah pandangan sayap kanan.

“Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa nilainya ke atas orang lain. PAS tak boleh memaksanya ke atas kita dan Umno juga tidak boleh memaksa PAS,” katanya.

“Kita cuma atur strategi untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya. Itu sahaja. Umno tetap Umno. PAS tetap PAS.”

Beliau berkata, kerjasama Umno-PAS tidak akan memberi kesan ke atas sokongan kepada BN di Sabah dan Sarawak, yang sebelum ini dianggap “simpanan tetap” gabungan itu semasa pilihan raya.

Walaupun terkubur di Sabah, Mohamad berkata, parti itu kini mendapat nafas baru.

“Di Sarawak, kita faham kenapa mereka membuat keputusan sendiri di luar BN.

“Mereka hendak menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan sentimen di sana terhadap parti persekutuan memang tidak baik. Mereka mahukan parti sendiri. Kita faham itu tetapi lebih penting ialah kita mempunyai hubungan yang masih kuat dan baik.”

Mohamad menolak asakan tentang kecenderungan Umno menggunakan retorik kaum dan agama bagi meraih sokongan.

Katanya, beliau menggesa ahli Parlimen dan senator parti itu supaya memberi tumpuan kepada isu berkaitan ekonomi.

“Rakyat sekarang gelisah mengenai ketidaktentuan dalam ekonomi. Peniaga mengalami masalah, perniagaan jelas jatuh teruk dan kuasa beli berkurangan.

“Saya rasa 30-40% sektor masyarakat kita tidak terpikat dengan isu itu (kaum dan agama). Mereka lebih kepada isu makan-pakai, kepada keadaan ekonomi,” katanya.

“Sampai sekarang sudah 10 bulan selepas PRU14, keadaan tidak menentu. Kerajaan yang ada sekarang tidak mendapat mandat yang kuat. Bila kerajaan tidak mantap, hasilnya rakyat akan menderita kerana ekonomi kita tidak berapa baik.”