Bersih, Santiago, kecam keputusan kekal Kiandee sebagai pengerusi PAC

Bekas timbalan speaker, Ronald Kiandee, yang dilantik sebagai pengerusi PAC sebelum ini sewaktu mewakili Umno, menyertai PPBM semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikritik kerana mempertahankan keputusan beliau mengekalkan ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ini berikutan langkah Kiandee, yang sebelum ini merupakan pemimpin Umno, menyertai PPBM pimpinan Dr Mahathir, semalam.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, keputusan Dr Mahathir itu adalah seperti memperolok-olokkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk mengkhususkan kerusi itu kepada wakil pembangkang.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, Kiandee akan meneruskan peranannya itu dan PH telah pun menunaikan janjinya apabila bekas timbalan speaker itu pertama kali dilantik sebagai pengerusi PAC, walaupun keputusannya menyertai pihak kerajaan tidak dijangka.

“Rakyat mentertawakan kita. Masa berbolak-balik telah tamat kerana rakyat sedang memerhati. Mereka semakin bosan,” kata Santiago kepada FMT.

Wakil DAP itu juga berkata, manifesto PH menyebut dengan jelas bahawa pengerusi PAC hendaklah dilantik dalam kalangan wakil pembangkang dan kerajaan mesti bertegas dengan itu.

“Dengan menyertai PH, Ronald Kiandee tentu tahu tentang manifesto tersebut dan seharusnya meletak jawatan sebagai pengerusi PAC. Kini kita kelihatan seperti orang bodoh.”

Bolak-balik terakhir ini kata beliau, mengesahkan kepercayaan umum bahawa PH tidak komited pada manifestonya dan juga reformasi institusi.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 berkata, ia tergamam bahawa Dr Mahathir secara “bersendirian” membuat keputusan mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi PAC.

“Kami mahu mengingatkan Tun Mahathir bahawa sebab kenapa manifesto PH mengandungi janji tersebut adalah supaya kemuliaan Parlimen dapat dipulihkan dan tidak hanya menjadi cap getah bagi cabang eksekutif kerajaan,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata, isu 1MDB menunjukan betapa pentingnya PAC bersifat dwipihak.

Bersih 2.0 juga menggesa kedua-dua penyokong kerajaan dan wakil pembangkang supaya mengecam langkah itu kerana ia menggugat peranan mereka sebagai semak dan imbang kepada Kabinet.

“Jika perdana menteri tidak mengubah keputusan beliau mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi PAC, maka bukan sahaja kredibiliti PH akan tercemar, tetapi juga kehormatan Parlimen.”

Bekas timbalan pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw berkata, Malaysia tidak harus berpatah balik kepada “cara lama” yang menyaksikan pengerusi PAC merupakan wakil kerajaan.

“Bekas ahli Parlimen Kepong itu berkata, pengerusi PAC sewajarnya seorang wakil pembangkang veteran.

“Oleh sebab kita telah pun melantik wakil pembangkang sebagai pengerusi, maka sewajarnya ia diteruskan.

“Pelantikan wakil pembangkang sebagai pengerusi PAC sangat penting.

“Jika anda (pengerusi PAC) mewakili kerajaan, jika ada perkara yang merugikan kerajaan, maka mungkin anda tidak bertindak sebagaimana sepatutnya, atau berbuat ke takat yang sepenuhnya.

Katanya, peranan pengerusi PAC ialah mencari kebenaran, tanpa mengira pihak mana yang mungkin menerima kesannya.