Kerajaan Sarawak didesak henti projek kelapa sawit di tanah penduduk

Willy Kajan (kiri) bersama-sama pengarah Tabung Bruno Manser (BMF) Lukas Straumann (tengah)dan pemimpin Orang Asli lain sempena satu persidangan di Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang aktivis Orang Asli menggesa kerajaan negeri meneliti pencerobohan tanah pribumi yang dilakukan sebuah syarikat minyak sawit tempatan berhampiran Taman Negara Mulu.

Willy Kajan dari kampung Long Terawan berkata, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gerawat Gala sebelum ini memberitahu syarikat tersebut supaya menghentikan operasinya di tanah pribumi dengan serta-merta, tetapi penduduk setempat masih menyaksikan kegiatan pembalakan diteruskan.

Kajan berkata, dalam satu pertemuan pada 4 Mac lepas dengan Gala dan 14 pegawai agensi kerajaan serta wakil syarikat tersebut, Gala membangkitkan isu berkaitan tadahan air, hak tanah pribumi dan kawasan kubur penduduk hendaklah diatasi serta-merta.

“Kami masih berpegang pada kata-kata beliau hingga ke hari ini,” kata Kajan ketika ditemui dalam persidangan Kerjasama Tenaga Bersih, di sini, hari ini.

Beliau mengkritik kerajaan negeri kerana membenarkan ladang kelapa sawit dibangunkan di atas tanah pribumi penduduk tanpa membincangkan atau memaklumkannya kepada mereka.

“Kami membuat bantahan sejak tahun lepas dan kami sangat menjaga hutan di kawasan kami. Jika mereka (syarikat) terus menceroboh tanah dan hutan kami, maka kami akan kehilangan semua sumber pendapatan.”

“Hutan adalah seperti pasar raya, bank dan hospital kami,” katanya, dengan menambah kebanyakan penduduk di Long Terawan merupakan petani, nelayan dan pemburu.

Dalam pada itu, Tabung Bruno Manser (BMF) mendakwa sebuah bank di Singapura memberi pinjaman berjumlah AS$31 juta (RM126 juta) kepada syarikat berkenaan untuk menukar 4,400 hektar tanah hutan pribumi menjadi ladang kelapa sawit.

Bulan lepas, kumpulan anti-pembalakan dari Switzerland mendakwa pihak berkuasa bertindak menakut-nakutkan pemimpin penduduk tempatan berikutan satu laporan bahawa seorang pemimpin Orang Asli diugut akan ditangkap kerana membantah pencerobohan yang dilakukan sebuah syarikat minyak sawit.

Timbalan menteri perancangan bandar, pentadbiran tanah dan alam sekitar Sabah, Len Talif Salleh menolak dakwaan itu.

“Saya tidak akan membantu mereka (BMF) mempopularkan agenda mereka dengan menyebarkan berita bohong kepada dunia bagi mendapatkan lebih banyak dana,” katanya.

Beliau berkata, ladang kelapa sawit itu telah beroperasi di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lepas, dan pemimpin penduduk boleh merujuk kepada Jabatan Perhutanan, Lembaga Sumber Semulajadi dan Alam Sekitar negeri, selain Jabatan Tanah dan Ukur bagi menyelesaikan masalah mereka.