Selepas hotel Royale Chulan, Najib jangka lebih banyak aset LTAT akan dijual

Boustead Holdings menjual hotel Royale Chulan kepada Hotel Royal Ltd dari Singapura pada harga RM197 juta.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak menjangka lebih banyak aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dilepaskan berikutan penjualan hotel Royale Chulan kepada sebuah syarikat Singapura.

Beliau berkata, Boustead Holdings, dengan LTAT merupakan pemegang saham terbesarnya, berkata, penjualan hartanah di Bukit Bintang itu adalah sebahagian daripada rancangan keseluruhan kumpulan itu untuk kembali mencatatkan keuntungan dengan melepaskan aset bukan strategik yang dimilikinya.

Najib berkata, 2 aset terbesar LTAT, iaitu Boustead dan Affin Bank – mengalami kejatuhan dalam nilai saham mereka selepas pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.

“Nilai saham Boustead jatuh 50%, sementara Affin Bank jatuh sekitar 15% tahun lepas walaupun keuntungan Affin Bank naik sedikit kepada RM500 juta.

“Tetapi Boustead Holdings yang merupakan aset terbesar LTAT mengalami kerugian besar sebanyak RM488 juta berbanding keuntungan RM875juta pada 2017 di bawah (pentadbiran) Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, seperti Khazanah Nasional, Boustead tidak pernah mengalami kerugian selama 9 tahun beliau menjadi perdana menteri, tetapi ia “tiba-tiba rugi besar tahun lepas”.

Pada tahun itu kata beliau, semua perniagaan Boustead merosot, dengan jualan dalam sektor perladangannya jatuh 21%, kejuruteraan berat 50% dan sektor hartanah susut 7%.

“Jadi dengan rancangan Boustead untuk kembali mencatatkan keuntungan dengan menjual asetnya yang bukan-strategik, memberi makna banyak lagi aset LTAT yang sedang dan akan dijual walaupun pasaran dan ekonomi lembab.

“Itulah sebabnya mereka belum mengumumkan dividen walaupun Mat Sabu (Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu) pernah berjanji dividen LTAT akan diumumkan pada Februari,” katanya.

Laporan semalam menyebut Hotel Royal Ltd yang disenaraikan di Singapura telah membeli hotel Royale Chulan daripada Boustead pada harga RM197 juta.

Boustead dijangka memperoleh keuntungan sebanyak RM92 juta daripada jualan itu.