JKM beri kaunseling pada pelajar terkesan toksik Sg Kim Kim

Sesi kaunseling JKM dilakukan bagi membantu dalam proses pemulihan dan mengatasi perasaan trauma pelajar yang terlibat dengan insiden toksik Sungai Kim Kim. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan kaunseling bagi proses pemulihan dan trauma kepada pelajar yang terlibat dalam bencana pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung berkata khidmat kaunseling itu akan diberikan sebaik sekolah dibenarkan dibuka semula.

Katanya, kaunseling perlu diberikan kepada pelajar yang terlibat dan JKM juga sedia bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan dalam usaha itu, terutamanya melibatkan pelajar sekolah rendah yang mungkin menghadapi trauma selepas insiden tersebut dan selepas menerima rawatan beramai-ramai di Medic Base atau hospital.

“Saya berharap sesi kaunseling bagi pelajar-pelajar tersebut dapat dilakukan bagi membantu dalam proses pemulihan dan untuk mengatasi perasaan trauma dalam diri mereka jika ada,” katanya pada sidang media di Medic Base Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Liow berkata setakat ini terdapat 35 pasukan kaunseling JKM yang terdiri daripada 15 pegawai psikologi dan kaunseling dan 20 Pasukan Sokongan Psikologi.

“Saya dimaklumkan team kaunseling JKM di negeri lain juga sedia membantu kami sekiranya diperlukan.

“Selain itu, agensi-agensi di bawah portfolio seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim juga mempunyai kaunseling team mencukupi yang boleh membantu dalam perkembangan ini,” katanya.

Sementara itu, menurutnya kerajaan negeri menerusi JKM, ahli majlis dan sukarelawan MPPG turut mengedarkan topeng muka dan bahan makanan kepada penduduk yang terjejas ekoran pencemaran kimia.

“Lebih 350 bungkus makanan dan topeng diagihkan di kawasan perumahan serta rumah kedai di Kampung Bukit Pulai, Taman Scientex dan Taman Scientex 2 pada 15 Mac dan semalam.

“Selain daripada mereka yang menerima rawatan perubatan dan rawatan di Stadium Tertutup MPPG, saya merasakan penduduk di kawasan itu tidak patut diabaikan dan adalah penting untuk penduduk dapatkan topeng sebagai langkah berjaga-jaga,” tambahnya.