Kedah tutup pusat tahfiz beroperasi tanpa kebenaran

Exco Kedah, Dr Ismail Salleh berkata, hasil siasatan mendapati pusat yang beroperasi sebagai pusat rawatan amal itu tidak berdaftar di bawah Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani diarah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran, selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah Dr Ismail Salleh berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pusat yang beroperasi sebagai pusat rawatan amal itu tidak berdaftar di bawah Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

“Kita mohon orang ramai jangan terpedaya dengan aktiviti pusat rawatan amal ini yang dilihat mempergunakan kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam tular dalam aplikasi WhatsApp satu video berdurasi 3 minit 37 saat yang antara lain memaparkan tulisan “211 anak yatim fakir miskin diarah kosongkan penempatan”, selain merakamkan keadaan kanak-kanak perempuan menangis apabila mereka diarah berpindah keluar.

Dr Ismail berkata, pusat rawatan amal itu juga dikesan melanggar Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah 2008 kerana mengutip derma tanpa kebenaran.

“Hasil siasatan kita juga mendapati pihak pengurusan pusat rawatan amal ini menggunakan kanak-kanak untuk kutip derma tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri Kedah,” katanya.

Beliau juga berkata, daripada keseluruhan penghuni pusat berkenaan seramai 211 orang, hanya 11 orang merupakan anak yatim.

Katanya, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan pergi ke pusat yang beroperasi di dalam bangunan rumah kedai itu esok untuk mengunci premis berkenaan sebagai tindakan lanjut.

“Kalau penghuni masih ada esok, yang mana ada ibu bapa kita akan serahkan mereka kepada ibu bapa mereka, manakala yang baki 11 orang lagi ini, JKM akan tempat mereka di rumah perlindungan JKM dahulu,” katanya.

Dr Ismail memohon orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan kisah sedih seumpama itu untuk meraih simpati orang ramai, sebaliknya perlu mengambil tindakan menyemak kesahihan operasi sesebuah pusat tahfiz terlebih dahulu.