Kemarau: Penternak ikan Sg Pahang bimbang kejadian sangkar tersadai berulang

Suhu air yang tinggi kerana paras sungai cetek juga boleh menyebabkan ikan mati dan merugikan penternak. (Gambar Bernama)

TEMERLOH: Keadaan kemarau sejak sebulan lalu meresahkan penternak ikan dalam sangkar di sepanjang Sungai Pahang di sini, kerana bimbang kejadian sangkar ikan tersadai ekoran fenomena El Nino yang berlaku pada 2015, berulang.

Seorang pengusaha, Hafiz Halim, 33, dari Kampung Teluk Ira dekat sini berkata, musim panas kali ini yang bermula lebih awal berbanding tahun lalu dikhuatiri akan menyebabkan kerugian kepada pengusaha ikan patin dan tilapia.

“Paras air Sungai Pahang di sini kini semakin cetek dan hanya tinggal 0.2 meter menyebabkan ada sangkar ikan sudah mula terkena pasir di dasar sungai. Saya risau jika cuaca panas ini berterusan ia akan menjejaskan ikan yang diternak.

“Keadaan air terlalu panas menyebabkan ikan mudah mati dan untuk mengelak keadaan itu saya terpaksa memasang jaring hitam sebagai peneduh, kerana paras air terlalu cetek.

“Kalau air semakin surut memang sudah tidak ada cara lagi melainkan menjualkan ikan sedia ada kepada pengusaha kolam ikan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hafiz yang mempunyai 23 sangkar ikan berkata, usaha itu menampakkan hasil apabila jumlah ikan yang mati berkurangan berbanding 50 ekor setiap hari sebelum ini.

Beliau yang sudah 18 tahun berpengalaman dalam bidang penternakan ikan dalam sangkar berkata, ketika kejadian El Nino sebelum ini, dia terpaksa menjual ikan dengan harga RM1 seekor berbanding harga asal RM17 sekilogram, untuk mengelak menanggung kerugian.

Seorang lagi pengusaha, Mohamad Kamaruzzaman Dali, 45 berkata, dia mengalami kerugian hampir RM20,000 ketika musim kemarau 4 tahun lalu apabila lebih 5,000 ikan patin yang diternak dalam 3 sangkar miliknya mati selepas ia tersadai di atas pasir.

“Kami risau jika keadaan cuaca seperti ini berlarutan, mimpi ngeri kami sebelum ini akan berulang.

“Jadi kami penternak ikan sangkar amat berharap Jabatan Perikanan Pahang dapat memantau situasi yang berlaku dan memberi cadangan atau bantuan bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera untuk mengelak kami mengalami kerugian lebih banyak,” katanya.