‘Jambatan Angkat’ Terengganu bakal jadi tumpuan lokasi ‘wajib’ bergambar

Meskipun belum siap sepenuhnya namun ‘Jambatan Angkat’ ini sudah menjadi tumpuan penggemar gambar panorama yang cantik.

Jambatan ikonik Terengganu ini juga semakin mendapat perhatian ekoran reka bentuknya yang cantik dan unik.

Terletak di Kuala Terengganu, Jambatan angkat ini menghubungkan Muara Selatan Pusat Bandaraya dan Muara Utara Seberang Takir (Kuala Terengganu – Kuala Nerus) sejauh 638 meter.

Kenapa dipanggil Jambatan angkat? Ia kerana jambatan ini boleh diangkat di pertengahannya untuk memudahkan laluan kapal-kapal besar.

Ia mengambil masa 20 minit untuk naik (dibuka untuk laluan kapal) dan kurang 20 minit untuk turun (dibuka kepada kereta dan motosikal).

Jambatan angkat ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelah utara yang menempatkan restoran di tingkat 14 manakala tingkat 13 pula menempatkan ruang solat dan bilik air.

Di bahagian selatan pula ada galeri untuk orang ramai melihat keindahan bandar Kuala Terengganu terutamanya pada waktu malam.

Apa yang menariknya di jambatan ini, ada beberapa kawasan sekitarnya yang cukup indah untuk anda ambil gambar.

Antaranya di Taman selera Tanjung, Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Kalau anda berkesempatan datang ke sini, jangan lupa menikmati hidangan popular kerang bakar sambil berlatarbelakangkan panorama indah ini.

Jambatan yang dijangka telah siap ini akan dibuka kepada orang awam pada April 2019.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]