KPN: Pencemaran sisa kimia Sg Kim Kim, polis reman 9 orang

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Polis menahan 9 lelaki yang direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, 2 daripada mereka ditahan di negeri ini, manakala baki 7 lagi di luar Johor dengan kesemua tangkapan dibuat semalam.

Mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka bermula hari ini selama 6 hari, katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya kes disiasat menurut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan.

Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun serta Seksyen 326 kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.

Pada 13 Mac, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup berikutan beberapa gelombang “simptom Kim Kim” yang berlaku di beberapa sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.