Pemain industri punca harga buku sukar dikawal, kata bekas CEO institut terjemahan

Walaupun harga buku sukar dikawal, namun buku bernilai tinggi tetap mempunyai pasaran tersendiri. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Faktor pemain industri menjadi punca mengapa harga buku sukar untuk dikawal dan ditetapkan pada harga mampu milik, kata bekas ketua pegawai eksekutif Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Mohd Khair Ngadiron berkata, pemain industri berkuasa menetapkan harga berdasarkan kos penerbitan bagi menghasilkan sesebuah buku.

“Bayaran upah untuk penulis tidak mahal, yang mahal adalah kos percetakan dan pemasaran. Faktor luaran seperti pemain industri juga banyak main peranan dalam menetapkan harga.

“Ada yang pakai kertas untuk terbitkan buku pun import dari luar negara, sebab itu harga siling sukar untuk ditentukan,” katanya kepada FMT.

Khair berkata, jualan di kedai buku juga memberi kesan kepada harga buku dan boleh dilihat perbezaan harga di beberapa kedai.

Bekas CEO ITBM, Mohd Khair Ngadiron. (Gambar Facebook)

Namun Khair menganggap penulis masih tidak mendapat pulangan sewajarnya dan perlu menukar strategi penjualan buku, termasuklah memberikan diskaun tertentu.

“Zaman di mana hanya penerbit yang bertanggungjawab menjual buku sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang ini.

“Selain bergantung kepada royalti, penulis sendiri perlu mempromosi karyanya di media sosial.

“Pemain industri pula perlu berikan diskaun dan hasilnya akan wujud situasi menguntungkan dan menang-menang antara penerbit dan penulis,” katanya.

Walaupun Khair menganggap harga buku sukar untuk dikawal, beliau percaya buku bernilai tinggi tetap mempunyai pasaran tersendiri.

“Harga buku pun tidak murah di negara maju seperti Amerika Syarikat dan England. Jual lebih murah pun tidak bermakna lebih ramai orang akan beli buku, semuanya bergantung kepada industri,” katanya.

Justeru, Khair berkata, kaedah ketelusan harga lebih sesuai dilakukan pada barang yang diperlukan dalam penerbitan buku seperti kertas dan alat cetak.