Polis Belanda buru lelaki Turki dalam serangan tram

UTRECHT: Pihak keselamatan Belanda sedang memburu seorang lelaki Turki berusia 37 tahun yang disyaki menembak beberapa orang dalam tram di bandar Utrecht hari ini, dalam kejadian yang pihak berkuasa katakan seperti serangan pengganas.

Pihak berkuasa menaikkan paras ancaman terorisme di wilayah Utrecht ke tahap tertinggi, sekolah diarah tutup pintu dan polis separa tentera meningkatkan kawalan di lapangan terbang dan prasarana penting lain, serta di masjid.

Perdana Menteri Mark Rutte mengadakan perbincangan mengenai krisis itu, mengatakan dia sangat bimbang mengenai kejadian itu, yang berlaku 3 hari selepas seorang penembak menembak 50 orang di 2 masjid di bandar Christchurch, New Zealand.

“Polis meminta anda supaya berwaspada dengan Gokman Tanis berusia 37 tahun (lahir di Turki) berkaitan kejadian pagi tadi,” kata polis dalam kenyataan.

Mereka menerbitkan gambar lelaki itu dan meminta orang ramai untuk tidak mendekatinya. Polis tidak memberi butiran lanjut.

Terdahulu, ketua badan anti-terorisme Belanda berkata tembakan dilepaskan di beberapa lokasi, tanpa mengulas lanjut.

Unit anti-pengganas mengepung sebuah rumah di Utrecht, menurut laporan televisyen Belanda, tetapi tiada orang kelihatan ditangkap.

“Masih banyak perkara yang belum jelas ketika ini dan pihak berkuasa bekerja keras untuk mengesahkan fakta. Apa yang kita pasti adalah pelaku masih berkeliaran,” kata ketua Agensi Counter-Terorisme, Pieter-Jaap Aalbersberg pada sidang media.

Aalbersberg, yang berkata tempatan itu seperti serangan pengganas, enggan mengulas mengenai bilangan orang yang tercedera, keadaan mereka atau mengesahkan kematian.

Utrecht, bandar keempat terbesar di Belanda dengan penduduk seramai 340,000 orang, terkenal dengan tali air dan mahasiswa yang ramai.

Pembunuhan melibatkan senjata api jarang berlaku di Utrecht dan di Belanda.