Singapura akan gantung seorang lagi rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia, Michael anak Garing didapati bersalah kerana membunuh 4 tahun lalu di Singapura. (Gambar Polis Singapura)

PETALING JAYA: Seorang lagi rakyat Malaysia dijadualkan dihukum gantung minggu ini, 5 bulan selepas pihak berkuasa Singapura menolak rayuan pengampunan warga Malaysia yang dihukum mati atas kesalahan mengedar dadah.

Pemberitahuan pihak berkuasa Penjara Changi kepada keluarga Michael anak Garing dari Sarawak, yang didapati bersalah kerana membunuh 4 tahun lalu, dikritik kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL).

Kumpulan itu berkata, mereka hanya diberi notis 8 hari berhubung pelaksanaan hukuman tersebut Jumaat ini.

“Mereka diminta melalui surat supaya membuat persiapan pengebumian.

“Notis sangat singkat ini mengganggu dan membimbangkan. Ia memberi masa yang sangat pendek kepada keluarga Michael untuk bersamanya pada saat-saat akhir hayatnya dan untuk membuat persiapan,” kata N Surendran dari LFL.

Katanya, walaupun Michael perlu bertanggungjawab ke atas perbuatan jenayahnya, tetapi dia patut diberi peluang menjalani pemulihan.

“Hukuman mati tidak pernah terbukti menjadi penghalang kepada jenayah serius.

“Hukuman mati ke atas Michael hanya mengukuhkan budaya keganasan, dan tidak akan mejadikan rakyat Singapura lebih selamat dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Pada 26 Oktober 2018, Singapura menjalankan hukuman mati ke atas Prabu N Pathmanathan, warga Malaysia yang disabitkan kesalahan mengedar dadah pada 2014.

Ia mencetus kecaman kumpulan aktivis hak asasi, yang mendakwa pengakuan yang diperolehi daripada Prabu didapati secara paksa.