Sultan Selangor arah tutup sekolah tahfiz tak berdaftar

(Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan pihak berkuasa menutup sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor dan tidak mempunyai kokurikulum serta sistem pendidikan akademik moden.

“Pendidikan tahfiz di Selangor menarik minat ramai ibu bapa dan pelajar. Di Selangor sahaja, terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan Jais.

“Beta menitahkan sekolah-sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan Jais dan tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik moden hendaklah ditutup dan ditamatkan perkhidmatannya,” katanya berucap pada istiadat perasmian persidangan penggal ke-2 Dewan Undangan Negeri Selangor ke-14, hari ini.

Pencemar sungai

Sultan Sharafuddin mencadangkan kerajaan negeri menggubal undang-undang supaya hukuman berat boleh diambil terhadap mereka yang mencemarkan sungai.

“Beta dimaklumkan 4 atau 5 sungai di Selangor tercemar dengan bahan-bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik. Beta menyeru kerajaan Selangor melaksanakan penguatkuasaan lebih serius terhadap mereka yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai.”

Sultan Selangor berkata, masyarakat perlu diberikan pendidikan untuk meningkatkan tahap kesedaran mereka dalam menjaga kebersihan sungai yang merupakan salah satu sumber air utama di negeri itu.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat tidak menyalahgunakan teknologi maklumat untuk menggugat keharmonian antara kaum.

“Selangor adalah negeri makmur dan aman, dikurniakan masyarakat berbilang bangsa, agama dan adat resam. Perpaduan dan keharmonian ini adalah aset negeri yang harus dipertahankan dan dipelihara.

“Gunakanlah kemajuan teknologi untuk perkara positif dan boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat, bukannya menyebarkan fitnah, berita palsu dan menghina seseorang yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat.”