Keluarga lelaki berdepan hukuman mati di Singapura rayu hukuman ringan

Michael anak Garing berdepan hukuman mati di Singapura selepas didapati bersalah membunuh pekerja binaan, 4 tahun lalu. (Gambar polis Singapura)

KUCHING: Keluarga Michael Garing, yang dijadual dihukum gantung mati Jumaat ini kerana membunuh, masih berharap nyawa lelaki itu dapat diselamatkan.

Bercakap kepada FMT, bapa saudara Michael berkata, mereka berusaha merayu agar hukuman mati terhadap Micheal diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup.

“Kami benar-banar berharap pihak berkuasa akan menimbang semula keputusan dan mengetepikan hukuman gantung.

“Bapa Michael sudah berusia 70-an dan bekerja sebagai pemandu van untuk menyara hidup, manakala ibunya berusia 50-an,” katanya yang enggan dinamakan.

Katanya, mereka berulang-alik dari Kapit ke Singapura lebih 8 tahun untuk mengikuti perkembangan kes anak mereka.

Keputusan Singapura menjatuhi hukuman mati terhadap Micheal dikritik penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran mengatakan keluarga tertuduh hanya diberi notis 8 hari yang diminta membuat persiapan pengebumian.

“Notis sangat singkat ini mengganggu dan membimbangkan. Ia memberi masa yang sangat pendek kepada keluarga Michael untuk bersamanya pada saat-saat akhir hayatnya dan untuk membuat persiapan,” katanya.

Michael anak Garing dari Sarawak, yang didapati bersalah kerana membunuh 4 tahun lalu.

Micheal adalah salah seorang daripada kumpulan yang terlibat dalam rompakan di padang terbuka di Kallang Road, Singapura, pada Mei 2010 yang menyebabkan kematian seorang pekerja binaan berusia 41 tahun, Shanmuganathan Dillidurai. Manakala 3 lagi cedera parah.

Pada 20 April 2015, Michael dihukum mati kerana membunuh Shanmuganathan, sementara seorang lagi tertuduh, Tony Imba, dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan 24 sebatan.

Seorang lagi ahli kumpulan tersebut, Hairee Landak, dikenakan hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan, sementara Donny Meluda, yang melarikan diri selama 6 tahun dikenakan hukuman yang sama pada 2018.