Noh Omar langgar larangan masuk Dewan Rakyat

Noh Omar berkata, beliau tidak boleh menerima hukuman tidak adil yang dikenakan terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Kekecohan berlaku apabila Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar memasuki Dewan Rakyat, kira-kira 2 jam selepas Timbalan Speaker, Nga Kor Ming mengeluarkan larangan 3 hari ke atasnya.

Beliau memasuki dewan ketika Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) membahas ucapan Yang di-Pertuan Agong dan sidang Dewan Rakyat dipengerusikan seorang lagi Timbalan Speaker, Abdul Rashid Hasnon.

Rashid mengingatkan Noh mengenai penggantungan itu, tetapi Noh mendakwa tidak tahu mengenainya kerana beliau tiada dalam dewan ketika Nga mengeluarkan arahan itu.

“Sepatutnya, speaker mengarahkan saya keluar semalam. Tetapi, beliau hanya lakukannya hari ini. Dasar apa ni? Ini ialah tindakan memalukan. Saya tidak boleh terima hukuman tidak adil seperti ini,” katanya kepada Rashid.

Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) menggesa Noh menghentikan tindakan memalukan kerana perwakilan Parlimen Singapura turut berada dalam dewan.

Noh beralih ke arah tempat duduk perwakilan itu yang diketuai Speakernya, Tan Chuan-Jin, dan bertanya jika Parlimen Singapura pernah menggantung wakil rakyatnya ketika mereka tidak hadir dalam dewan.

“Bagus delegasi Singapura ada di sini sekarang. Mereka boleh nampak sendiri Malaysia Baru. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tanpa menggunakan kedaulatan undang-undang.”

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berdiri untuk mengingatkan dewan, Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) pernah diarahkan keluar dewan pada Mac tahun lalu, tetapi beliau ingkar.

“Saya mahu cadangkan Tanjong Karang tidak keluar juga.”

Rashid kemudiannya meminta bentara menjalankan tugasnya dengan mengiringi Noh meninggalkan Dewan Rakyat.

Noh pada mulanya melawan dan ahli Parlimen BN lain meneruskan protes mereka.

Perang mulut berlaku antara beberapa ahli Parlimen, sebelum Rashid mencelah dan berkata, beliau sudah memutuskan Noh perlu meninggalkan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, adegan jerit-menjerit berterusan sehingga menyebabkan Rashid memutuskan: “Saya dengan ini membenarkan Tanjong Karang kekal di dalam dewan sehingga sesi rehat.”

Chang dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membantah keputusan Rashid membenarkan Noh kekal dalam dewan buat sementara, sebelum Dewan Rakyat berhenti bersidang untuk sesi rehat, 3 minit kemudian.

“Keputusan sudah dibuat,” kata Khoo beberapa kali merujuk penggantungan 3 hari ke atas Noh.

Chang berkata: “Tanjong Karang perlu meninggalkan dewan!”

Sementara itu, Annuar Musa (BN-Ketereh) memegang buku mengandungi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan cuba bercakap, tetapi suaranya tidak kedengaran kerana laungan ahli Parlimen terlalu kuat.

Walaupun Dewan Rakyat sudah berhenti bersidang, ahli Parlimen masih dilihat menjerit ke arah satu sama lain ketika meninggalkan dewan.

Sementara itu, Noh berkata, beliau menghormati keputusan Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof melarangnya ke Dewan Rakyat selama 3 hari berdasarkan Peraturan 44, tetapi bukannya keputusan Nga pagi tadi kerana ia dibuat tanpa kehadirannya.

“Saya hormat keputusan speaker, tetapi takkan tarik apa-apa ucapan dalam dewan yang mengatakan Teluk Intan (Nga) tidak layak menjadi timbalan speaker (sehingga) menyebabkan saya digantung.

“Yang saya pertikai kenapa tak semalam? (Ketika saya) sedang berdepan beliau? Kenapa ketika itu tak guna Peraturan 44 arah saya tarik balik tuduhan.”

Katanya, beliau tahu peraturan Dewan Rakyat kerana sudah 6 penggal menjadi ahli Parlimen dan Nga sepatutnya mengeluarkan larangan ke atasnya ketika beliau berada dalam dewan.