Putrajaya akan rayu Singapura ringankan hukuman mati pesalah Malaysia

Keluarga Micheal Garing hanya diberi notis 8 hari yang diminta membuat persiapan pengebumiannya yang berdepan hukuman mati Jumaat ini. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha untuk menghantar rayuan supaya hukuman mati terhadap seorang rakyat Malaysia yang dijadualkan Jumaat ini, diringankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata kerajaan juga menghantar surat kepada presiden Singapura untuk meringankan hukuman tersebut.

“Kita fikir akan lakukan perkara sama, untuk menghantar wakil di Singapura sama seperti kes sebelum ini terhadap kes Prabu N Pathmanathan.

“Singapura akan tetap pendirian terhadap undang-undang mereka dan kita hormati keputusan dalam isu kesalahan menyeludup dadah,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Liew berkata pihaknya akan terus hantar bantahan dan wakil berhubung isu itu.

Liew Vui Keong.

Sebelum ini, Keluarga Michael Garing masih berharap nyawa lelaki itu dapat diselamatkan.

Bercakap kepada FMT, bapa saudara Michael, Adriel Abit berkata, mereka berusaha merayu agar hukuman mati terhadap Micheal diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup.

Keputusan Singapura menjatuhi hukuman mati terhadap Micheal dikritik penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran mengatakan keluarga tertuduh hanya diberi notis 8 hari yang diminta membuat persiapan pengebumian.

Michael dari Sarawak, yang didapati bersalah kerana membunuh 4 tahun lalu.

Micheal adalah salah seorang daripada kumpulan yang terlibat dalam rompakan di padang terbuka di Kallang Road, Singapura, pada Mei 2010 yang menyebabkan kematian seorang pekerja binaan berusia 41 tahun, Shanmuganathan Dillidurai. Manakala 3 lagi cedera parah.

Pada 20 April 2015, Michael dihukum mati kerana membunuh Shanmuganathan, sementara seorang lagi tertuduh, Tony Imba, dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan 24 sebatan.

Seorang lagi ahli kumpulan tersebut, Hairee Landak, dikenakan hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan, sementara Donny Meluda, yang melarikan diri selama 6 tahun dikenakan hukuman yang sama pada 2018.