Serangan udara bunuh 4 orang di Somalia

(Gambar Reuters)

MOGADISHU: Serangan udara berdekatan pekan Afgoye, Somalia meragut 4 nyawa, kata ahli keluarga salah seorang mangsa kepada Reuters hari ini.

Abdiqadir Nur, seorang kakitangan Hormuud Telecom, dan 3 yang lain meninggal dunia sekitar 01:30 GMT ketika memandu melalui kampung Laanta Buuro di wilayah Lower Shabelle, kira-kira 45km dari ibu negara, Mogadishu.

“Nur dan 3 yang lain mati di tempat kejadian. Abangnya, Mahad Nur melecur satu badan,” kata sepupu Nur, Abdullahi Ali.

Belum dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan itu. Amerika Syarikat kerap menjalankan serangan seperti itu di Somalia.

Serangan-serangan itu bertujuan menyokong kerajaan Somalia yang disokong PBB, yang sedang berperang dengan militan Islam, Al Shabaab.

Militan diusir dari Mogadishu pada 2011 tetapi masih bertahan di selatan dan tengah Somalia.

Tentera AS di Afrika belum menjawab email meminta komen.

Al Shabaab berkata waris orang-orang yang terbunuh dalam serangan udara selalunya terdorong untuk menyertai kumpulan itu, yang mahu melaksanakan undang-undang Islam di Somalia.