2/3 banduan jalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030

Program pemulihan di luar tembok seperti Sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib hendaklah diperluaskan bagi mengatasi masalah kesesakan dalam penjara.

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri, menerusi Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan 2/3 banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030, kata menterinya Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata program pemulihan dalam komuniti akan diperkasa bagi membolehkan penghuni menyesuaikan diri lebih awal bersama masyarakat dan memudahkan mereka kembali berperanan menjadi insan berguna.

Program pemulihan di luar tembok seperti Sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib hendaklah diperluaskan sebagai program alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan dalam penjara.

“Dengan kira-kira 39,000 banduan menerima manfaat program pemulihan di luar tembok penjara dan kadar residivis di bawah 0.5%, program ini wajar diperluaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 bertemakan ‘Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera’ di Maktab Penjara Malaysia, hari ini.

Turut hadir timbalannya, Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar.

Muhyiddin berkata, kerjasama pihak swasta menerusi “Corporate Smart Internship (CSI)” yang dilaksanakan kepada Orang Di Parol (ODP) juga menunjukkan perkembangan positif.

“Ketika ini, 44 syarikat swasta di 12 negeri melibatkan 2,005 ODP mengikuti program CSI sejak pelaksanaannya pada 2016.

“Program Reintegrasi Penghuni Industri yang dilaksanakan bersama sebuah syarikat swasta di Sungai Petani, Kedah melibatkan 35 Orang Diselia juga menunjukkan kejayaan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memastikan penjara dilengkapi dengan prasarana lengkap dan sesuai seperti kemudahan rekreasi, peralatan keselamatan dan reka bentuk bangunan yang lebih sistematik.

“Program pemulihan penghuni pula akan dipertingkatkan keberkesanannya dengan melatih lebih ramai tenaga pengajar, menambah kelas pembelajaran dan memastikan kesesuaian program pemulihan,” katanya.

Muhyiddin juga turut mengumumkan pelaksanaan Hari Terbuka Penjara dan memberi kelonggaran kepada pihak penjara untuk memilih hari sesuai sepanjang Mac sebagai hari terbuka.

Katanya, pelaksanaan hari terbuka itu diharap membina persepsi positif masyarakat kepada institusi penjara dan membantu penghuni membina semula keyakinan mereka.