NZ hantar wakil ke Turki tuntut Erdogan jelaskan komen serangan masjid

Winston Peters mengecam dan menyifatkan tindakan Recep Tayyip Erdogan menayangkan video tembakan di masjid Christchurch dalam kempen pilihan rayanya boleh membahayakan warga New Zealand di negara lain. (Gambar AFP)

CHRISTCHURCH: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters akan ke Turki untuk mendapatkan penjelasan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan berhubung kenyataannya mengenai pembunuhan 50 mangsa di 2 masjid Christchurch, Jumaat lalu.

Warga Australia, Brenton Tarrant, 28, berdepan pertuduhan membunuh selepas seorang penembak melepaskan tembakan dalam 2 masjid ketika jemaah menunaikan solat Jumaat, minggu lalu.

Erdogan – yang berusaha mendapatkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya tempatan pada 31 Mac ini – berkata, Turki akan memastikan penyerang itu dihukum, jika New Zealand gagal berbuat demikian.

Kenyataan itu dibuat dalam kempen pilihan rayanya yang turut menayangkan klip video tembakan 2 masjid di Christchurch yang disiarkan secara langsung di Facebook oleh penembak disyaki.

“Timbalan perdana menteri kami akan mendapatkan penjelasan mengenai komen itu di Turki.

“Beliau pergi ke sana untuk menjelaskan keadaan sebenar, secara bersemuka,” kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam sidang media di Christchurch hari ini.

Peters sebelum ini mengecam tayangan video tembakan itu yang disifatkannya boleh membahayakan warga New Zealand di luar negara.

Selepas bantahan Peters, Erdogan sekali lagi menyiarkan sebahagian manifesto yang didakwa milik Tarrant dalam kempen pilihan rayanya Selasa lalu bersama video penembak memasuki salah sebuah masjid di Christchurch dan melepaskan tembakan.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata, negara itu memanggil duta Turki dan menuntut komen Erdogan dikeluarkan daripada siaran stesen penyiaran Turki.

“Saya akan tunggu apa respons kerajaan Turki sebelum mengambil tindakan lanjut, tetapi saya boleh beritahu anda, kami sudah menyediakan semua pilihan,” kata Morrison di Canberra.

Morrison berkata, Duta Australia ke Turki akan menemui pegawai Erdogan hari ini.

Katanya, Canberra turut mempertimbangkan amaran perjalanan dikeluarkan kepada warganegaranya supaya tidak melawat Turki.

Hubungan antara Turki, New Zealand dan Australia secara umumnya baik. Ribuan rakyat Australia dan New Zealand pergi ke Turki setiap tahun untuk upacara memperingati mangsa korban dalam perang lebih seabad lalu.

Ribuan tentera Australia dan New Zealand (Anzac) terbabit dalam peperangan yang bermula di Gallipoli, Turki pada 1915 dan meragut lebih 130,000 nyawa.

Kawasan itu dikunjungi pelawat bagi memperingati mangsa korban dalam peperangan itu pada Hari Anzac yang disambut setiap 25 April.