Projek Bukit Persekutuan tidak boleh dibatalkan, walaupun dibantah penduduk

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan di plot tanah 20 hektar dekat KL Sentral akan tetap diteruskan, walaupun dibantah penduduk berhampiran.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, kementeriannya perlu patuh kepada perjanjian pertukaran tanah ditandatangani Kementerian Kesihatan dan syarikat pemaju SP Setia Bhd, yang dibuat sewaktu pentadbiran dulu.

“Masalahnya, perjanjian itu sudah siap. Saya sebagai menteri wilayah persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kena hormati perjanjian antara Kementerian Kesihatan dan SP Setia Bhd.

“Kita tidak boleh tiba-tiba kata hendak langgar perjanjian, nanti mereka saman kita. Kalau mereka saman, sudah tentu wang DBKL hanya akan digunakan untuk bayar pampasan kepada kontraktor. Nilainya berbilion ringgit.

“Namun, saya sudah maklumkan kepada pihak pemaju, pembangunan yang mereka ingin lakukan haruslah ambil kira sensitiviti penduduk,” katanya sewaktu ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, penduduk dekat Bukit Bandaraya dan Bangsar Utama mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan menunaikan janjinya untuk hentikan projek berkenaan.

Penasihat Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) M Ali mendakwa, pihak berkuasa tidak mematuhi undang-undang kerana tidak adakan pendengaran bantahan awam.

Khalid berkata, penduduk tidak seharusnya mendesak kerajaan persekutuan menghentikan sesebuah projek yang sudah ditandatangani, kerana akan memberi kesan negatif kepada negara.

“Perjanjian ini sudah dimuktamadkan, janganlah desak kerajaan tidak memenuhi janjinya. Benda (pembatalan perjanjian) ini kalau kita lakukan, implikasinya dari segi undang-undang memang agak berat,” katanya.

Pada 2012, SP Setia memperoleh tanah di Bukit Persekutuan sebagai pertukaran kepada projek pembinaan Institut Kesihatan Umum Malaysia di Setia Alam, Shah Alam.

Dilaporkan, syarikat pemaju berkenaan turut membeli baki 50% kepentingan di Bukit Persekutuan Setia dengan nilai RM431.89 dari syarikat Mekar Gemilang Sdn Bhd.

Bukit Persekutuan Setia, merangkumi 2 bahagian tanah pajakan berhampiran Bangsar, dengan jumlah 51.57 ekar.

Menurut Khalid, apa yang beliau lakukan adalah menentukan rancangan pembangunan yang dapat meminimumkan impak di kawasan berhampiran dengan pembangunan.

“Terpulanglah kepada mereka (hendak bawa isu ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), itu hak mereka. Perjanjian ini bukan kita buat. Ia sudah ada waktu kita ambil alih. Saya sebagai menteri wilayah persekutuan, banyak yang saya warisi.

“Kalau saya menteri dulu, mungkin saya tidak buat. Saya tidak boleh, ketika ini, dengan mudah batalkan perjanjian. Saya terpaksa cari penyelesaian terbaik,” katanya.

Tukar pegawai DBKL elak rasuah

Sementara itu, Khalid berkata, pegawai berpangkat rendah di DBK akan dipindahkan ke jabatan lain setiap 2 atau 3 tahun.

Langkah itu, katanya, sebahagian daripada penstrukturan semula DBKL yang bermula awal tahun ini, bagi mengatasi isu rasuah oleh kakitangan dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Datuk bandar Kuala Lumpur sedang buat penstrukturan semula DBKL dengan memindahkan pegawai dari satu jabatan ke jabatan lain.

“Kita dapati sebahagian pegawai ini duduk di jawatan mereka bertahun-tahun. Memang kita tak boleh benarkan ia berterusan untuk tempoh lama, mungkin akan rombak setiap 2 atau 3 tahun.

“Apabila mereka kekal terlalu lama di satu-satu jawatan, mereka boleh adakan hubungan dengan kontraktor dan kedai tertentu yang mahukan layanan istimewa dan sebagainya,” katanya.