Ramai salah faham konsep ‘homestay’, kata persatuan

Salah sebuah homestay yang bercirikan kampung di Melaka.

KUALA LUMPUR: “Homestay” sering anggap sebagai rumah inap yang lebih murah berbanding menginap di hotel yang mempunyai penarafan bintang kerana masyarakat salah faham mengenai konsepnya.

Presiden Persatuan Homestay dan Kampungstay Malaysia, Zohaime Muhamad Sori berkata, homestay diwujudkan bagi menyediakan pengalaman kepada pelancong bagaimana perasaan tinggal di kampung.

“Pengusaha homestay perlu mempromosikan budaya di kampung seperti menjual keropok, mempunyai ternakan, dusun atau tanaman.

“Malah petani, pekebun atau nelayan juga digabungkan dalam komuniti homestay bagi mengadakan program atau aktiviti bersama penginap,” katanya kepada FMT.

Ditanya bagaimana kemudahan homestay yang terdapat di bandar, Zohaime berkata itu tidak boleh dipanggil sebagai homestay.

Presiden Persatuan Homestay dan Kampungstay Malaysia, Zohaime Muhamad Sori.

“Komuniti homestay perlu tersusun, tidak boleh cacamarba dan tidak boleh beroperasi secara persendirian. Kalau ada yang beroperasi secara persendirian, itu bukan homestay tetapi chalet, kondominium atau rumah sewa.

Zohaime menambah, homestay tidak boleh dibina sebuah sahaja dalam 1 kampung, sebaliknya perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah.

“Pengusaha homestay perlu menjalani kursus asas dan dalam sesebuah kampung itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah homestay, ia adalah keperluan minimum.

“Homestay juga perlu menjalani penilaian dan pemeriksaan daripada pihak berkuasa tempatan, bomba dan jabatan kesihatan.

“Ini bagi memastikan homestay selamat untuk penginapan dan kesihatan pelancong terjamin,” katanya.

Tiada ketetapan harga

Zohaime berkata pengusaha homestay tidak menetapkan harga penginapan untuk 1 malam dan bilangan individu seperti hotel, tetapi ia ditetapkan berdasarkan berapa ramai yang tinggal dalam sesebuah rumah.

“Hotel ada penetapan harga iaitu RM300 atau RM400 satu malam tapi homestay tidak ada harga tetap sebab bergantung kepada banyak perkara.

“Kebiasaannya 1 rumah pula dibenarkan 2 hingga 3 orang 1 bilik, jadi akan ada 4 hingga 6 orang dalam 1 rumah,” katanya.

Zohaime berkata, pengusaha homestay tidak sepatutnya memonopoli pelancong sehingga menjejaskan perniagaan pesaing.

“Penyelaras kepada komuniti homestay tidak boleh menghantar pelancong kepada sesebuah pengusaha sahaja, kita tak nak mereka monopoli, kena bagi pengusaha homestay lain juga.

Menjelaskan operasi homestay di Sabah dan Sarawak, Zohaime berkata ia terdapat sedikit perbezaan.

“Di Sabah dan Sarawak biasanya buat homestay kluster, 2 atau 3 kampung dalam 1 kluster disebabkan jarak yang jauh dan dikendalikan di bawah 1 komuniti,” katanya.

Kerjasama dengan agensi pelancongan

Pengusaha homestay juga perlu bekerjasama dengan agensi pelancongan supaya keselamatan pelancong terpelihara.

“Pengusaha homestay tidak patut mempromosikannya sendiri, kalau bekerjasama dengan agensi pelancongan, ejen pelancongan boleh bertanggungjawab dan menyediakan insurans kepada pelancong,” katanya.

Zohaime berkata, setakat ini penguatkuasaan terhadap pembinaan homestay masih lemah sehingga menyebabkan kewujudan homestay haram.

“Kalau kerajaan perlukan bantuan, persatuan boleh tolong. Kita boleh siapkan garis panduan membina homestay. Jangan sekadar adakan mesyuarat dan berjanji sahaja.

“Kementerian perlu percaya dengan pihak persatuan untuk majukan homestay, inilah salah satu caranya nak majukan kampung,” katanya.