Ahli kelab golf milik kerajaan negeri bantah larangan jual bir

Keputusan Kelab Golf Antarabangsa Seremban menghentikan penjualan bir Ogos lalu mendorong ahlinya menentang langkah itu dalam EGM, Ahad ini. (Gambar sigc.com.my)

PETALING JAYA: Ahli Kelab Golf Antarabangsa Seremban tidak setuju dengan tindakan pengurusan melarang penjualan bir di premis itu baru-baru ini, dan dijangka akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), Ahad ini.

R Shankar, salah seorang daripada 44 ahli yang akan mengadakan EGM tersebut berkata, keputusan menghentikan penjualan bir bukan hanya tindakan sebelah pihak, malah melanggar perlembagaan kelab.

Peguam itu berkata keputusan tersebut bertentangan dengan amalan kelab selama 63 tahun yang menjual dan menyajikan bir dan ia juga bertentangan dengan kehendak majoriti ahli.

“Mereka tidak boleh melebihi undang-undang. Undang-undang dan supremasi perlembagaan mesti dipatuhi oleh semua,” katanya kepada FMT.

Shankar memetik Perkara 4.11 perlembagaan kelab yang membenarkan ia membeli, memperoleh, membekal, menjual dan berurusan dengan semua barangan pengguna, termasuk alatan golf dan lain-lain peralatan sukan, alkohol, makanan, minuman dan lain-lain seperti yang dikehendaki ahli.

“Kita akan jelaskan kepada jawatankuasa itu dan kembali kepada amalam lama. Tidak perlu undi kerana peruntukan itu dalam perlembagaan sudah tinggi,” katanya.

Perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat agung tahunan kelab (AGM) pada Oktober tahun lepas, dan jawatankuasa itu berjanji untuk mengkajinya.

Tetapi Shankar berkata tiada tindakan dibuat sejak itu.

Beliau berkata larangan penjualan bir berkuatkuasa Ogos lalu selepas Aminuddin Harun, yang juga menteri besar Negeri Sembilan, mengambil alih jawatan presiden kelab tersebut.

Kerajaan negeri memiliki padang golf 18 lubang berkenaan, sementara rumah kelab dan kemudahan sukan adalah milik 1,500 ahli kelab, yang terdiri daripada penjawat awam, pesara dan kakitangan sektor swasta.

Sejak 1991, menteri besar dan setiausaha negeri secara automatik dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden.

Ahli hanya memilih 2 naib presiden dan 5 lagi untuk jawatankuasa tersebut.

Seorang bekas setiausaha kelab berkata, sebelum ini bir dibenarkan di kelab itu walaupun penjualan minuman seperti wiski dan brandi dihentikan sejak 20 tahun lalu kerana memerlukan lesen.

“Penjualan dan pengambilan bir diteruskan memandangkan kerajaan ketepikan keperluan lesen bir,” kata bekas penjawat awam itu, yang tidak mahu dinamakan.

Katanya, adalah menyalahi undang-undang bagi jawatankuasa tersebut menghentikan penjualan bir.

Naib presiden kelab, T Muthuvelu berkata beliau menyokong EGM diadakan kerana ia akan membenarkan jawatankuasa itu mendengar pandangan ahli.

“Kami tidak respons atas kebimbangan ahli-ahli ketika perkara tersebut dibangkitkan dalam AGM dulu kerana keputusan menteri besar lebih berkuasa,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Muthuvelu yang juga peguam berkata, penjualan bir di kelab itu tidak menjadi masalah di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Katanya, penjualan makanan dan minuman di kelab itu tidak menggalakkan kerana ahli meninggalkan tempat itu sebaik sahaja habis bermain golf.

Bekas naib presiden kelab, Tan Foong Luen berkata, semua yang dipilih oleh ahli sepatutnya meletak jawatan apabila jawatankuasa tersebut gagal membatalkan pengharaman bir dan menegakkan perlembagaan.

Tan berkata, mungkin Aminuddin tidak diberi taklimat dengan betul sebelum keputusan itu dibuat.

“Menteri besar itu masih baru di kelab itu, tambahan pula dia bukan pemain golf. Pengawasan meletakkan kelab itu sebagai tumpuan untuk alasan yang salah dan ini mesti ditangani,” katanya.

Tan berkata, larangan penjualan dan meminum arak dan bir hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya majoriti ahli meluluskan pindaan perlembagaan tersebut.