Mokhzani mengaku pelakon Sherlock tamat hubungan

Mokhzani Mahathir berkata Benedict Cumberbatch bimbang mengenai kesan kenyataan bapanya ke atas syarikat filem, SunnyMarch. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Mokhzani Mahathir mengesahkan laporan bahawa pelakon Hollywood, Benedict Cumberbatch menamatkan hubungan perniagaan dengannya berhubung kenyataan bapanya yang didakwa anti-Semitik.

Beliau berkata ia adalah hak Cumberbatch untuk memutuskan hubungan perniagaan dengannya tetapi menegaskan bapanya, Dr Mahathir Mohamad, bukan anti-Semitik atau menentang Yahudi.

“Mungkin Ben bimbang mengenai kesannya kepada syarikat tetapi saya kekal mengatakan bapa saya bukan anti-Semitik atau menentang orang Yahudi.

“Ayah saya menentang perlakuan buruk terhadap Palestin dan rakyatnya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, pelakon Sherlock itu dilaporkan memutuskan perhubungan profesionalnya dengan Mokhzani berhubung kenyataan anti-Semitik oleh Mahathir.

Mokhzani adalah pengarah di SunnyMarch Holdings dan melabur 1 juta pound sterling untuk saham melalui syarikatnya, Kencana Capital.

Mengulas laporan itu, Mokhzani berkata wartawan Daily Mail meminta komen Cumberbatch berhubung temubual Mahathir dengan BBC Hardtalk di mana bapanya dilabel sebagai anti-Semitik.

Benedict Cumberbatch. (Gambar Reuters)

“Itu yang dimainkan sekarang,” katanya.

Mokhzani berkata Cumberbatch tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa yang dilabelkan sebagai anti-Semitik kerana ia memberi kesan kepada produksi SunnyMarch.

Beliau berkata Cumberbatch meminta beliau membuat kenyataan, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

“Saya berkata perkara terbaik yang perlu dibuat adalah meletakkan jawatan,” katanya, sambil menambah mereka kini berusaha untuk memutuskan hubungan perniagaan dan memulihkan modalnya.