Selepas ditahan sekali lagi, Jufazli akan dibebas esok

(Dari kiri) Peguam Syed Amirul Syed Idrus, Rajsurian Pillai and M Visvanathan di Balai Polis Dang Wangi selepas mendengar permohonan polis untuk mereman Jufazli Shi Ahmad.

KUALA LUMPUR: Aktivis politik Sabah, Jufazli Shi Ahmad yang ditahan polis baru-baru ini kerana “menghina perdana menteri” akan dibebaskan esok, selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk meremannya selama 4 hari.

Permohonan itu dibuat di hadapan majistret di balai polis Dang Wangi hari ini.

“Setelah berdebat selama setengah jam, majistret bersetuju untuk menolak permohonan polis untuk menahan reman Jufazli selama 4 hari,” kata peguamnya, Syed Amirul Syed Idrus.

Jufazli, yang turut diwakili peguam M Visvanathan dan Rajsurian Pillai, kini akan ditahan reman selama sehari bermula hari ini.

Pada 16 Mac lalu, bekas ahli DAP itu ditahan dan direman 5 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, berdasarkan laporan polis yang menuduhnya menghina perdana menteri.

Beberapa minit selepas pembebasannya semalam, beliau ditahan sekali lagi, kali ini di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkaitan dengan rakaman “live streaming” berdurasi 58 minit menerusi Facebooknya.