5 pasangan kekasih disebat di Aceh kerana ‘bermesra’

Sebatan adalah hukuman biasa bagi pelbagai kesalahan di Aceh, termasuk perjudian, minum arak dan hubungan seks antara pasangan gay. (Gambar AFP)

BANDA ACEH: Sekumpulan pasangan yang belum berkahwin disebat di wilayah Aceh, Indonesia pada Khamis selepas mereka ditangkap kerana “bermesra” iaitu satu jenayah di bawah undang-undang Islam di wilayah konservatif itu.

Sebatan adalah hukuman biasa bagi pelbagai kesalahan di wilayah itu, termasuk perjudian, minum arak dan hubungan seks antara pasangan gay.

Lima pasangan yang dihukum itu menerima antara 4 hingga 22 sebatan di luar sebuah masjid di Banda Aceh, selepas mereka menjalani hukuman penjara selama beberapa bulan.

Penguatkuasa agama menahan pasangan itu ketika mereka ditemui berpelukan dan berpegangan tangan atau, dalam beberapa kes melakukan hubungan seks.

Beratus-ratus penonton, termasuk kanak-kanak, menyaksikan pesalah menanggung kesakitan apabila pegawai syariah bertopeng menyebat mereka.

“Kami berharap pada masa akan datang tidak ada lagi kes seperti ini – ia memalukan,” kata pegawai agama yang dikenali sebagai Safriadi.

Disember lalu, 2 lelaki ditahan kerana melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan bawah umur dan menerima 100 sebatan.

Kumpulan hak asasi mengkritik hukuman sebat di khalayak ramai sebagai kejam, manakala Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa ia dimansuhkan, tetapi amalan itu mendapat sokongan penduduk Aceh.