Ketua hakim minta Majlis Peguam bantu banteras pandangan negatif terhadap badan kehakiman

Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum.

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum hari ini menggesa Majlis Peguam membantu menangani persepsi negatif orang awam terhadap badan kehakiman.

“Saya berharap Majlis Peguam akan bersama kami dalam hal ini,” katanya.

“Sebahagian sebab kenapa orang awam mempunyai persepsi negatif terhadap badan kehakiman ialah perbuatan peguam menggugurkan nama hakim untuk meyakinkan klien mereka.”

Beliau berkata, perbuatan itu boleh merosakkan imej badan kehakiman, sekali gus mendakwa, terdapat peguam yang mengutip wang untuk mengurangkan hukuman dalam kes jenayah.

Lebih buruk katanya, ada peguam yang meminta wang daripada klien mereka bagi menyelesaikan sesuatu kes.

“Peguam terbabit berkata, berikan saya sejumlah wang dan saya akan kongsi dengan majistret, hakim, pegawai pendakwa dan polis.

“Saya berharap perkara ini tidak berlaku, tetapi bolehkah anda bayangkan kesannya ke atas klien, terutamanya mereka yang tidak faham sistem perundangan kita,” kata beliau.

Hakim tertinggi itu, yang dijadualkan bersara bulan depan, berucap pada majlis pelancaran laporan bersama oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan badan kehakiman mengenai penilaian sistem pentadbiran keadilan.

Beliau turut mengemukakan contoh lain, termasuk peguam yang mendakwa mereka boleh mengurangkan denda, misalnya dari RM10,000 ke RM2,000.

“Peguam sebegini memahami ‘trend’ penghakiman,” katanya. “Inilah antara perkara yang membimbangkan kerana ia memberi gambaran negatif mengenai badan kehakiman.”

Beliau menggesa badan kehakiman menangani isu itu dengan berkata, setakat ini ia gagal ditangani dengan berkesan berbanding negara lain, seperti Singapura.

“Mereka mempunyai jabatan perhubungan awam yang baik, selain pegawai yang mengurus media, terutamanya media sosial,” kata beliau.

Beliau juga merujuk kepada masalah kekurangan peruntukan untuk mengurus perkara tersebut.

“Kit boleh bekerja siang malam, tetapi kita akan gagal sekiranya kita tidak dapat mengetengahkan pencapaian kita kepada dunia. Saya berharap isu ini boleh diatasi,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Malanjum berkata, mahkamah mempunyai garis masa dalam menyegerakan perbicaraan dan rayuan kes jenayah, termasuk kes rasuah.

Katanya, ia juga bergantung pada peguam yang mewakili pihak yang didakwa.

“Kami hanyalah salah satu pihak, pihak satu lagi adalah peguam yang memohon penangguhan. Apakah yang mahkamah boleh buat?”, kata beliau.

Katanya, kes mengambil masa terlalu lama untuk disudahkan apabila peguam bertanya terlampau banyak soalan.

“Tetapi kami perlu memberikan mereka peluang kerana kebebasan klien mereka menjadi taruhan,” kata beliau.

Beliau memberi respons terhadap rancangan Jabatan Perdana Menteri untuk mewujudkan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan khas untuk mengendalikan kes rasuah bagi mempercepatkan proses perbicaraan dan rayuannya.