Najib kesali kekecohan antara penyokong dan pelajar

Najib sedang bercakap di suatu dialog bersama pelajar di sebuah resotran apabila sekumpulan pelajar menunjuk perasan di luar.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak kesal dengan kejadian pelajar didakwa dikasari penyokongnya di satu acara petang tadi.

“Saya menyesal wartawan terperangkap dalam pertengkaran dan provokasi dan pergelutan yang berlaku,” katanya kepada FMT.

Satu pergelutan kecil tercetus berdekatan sebuah restoran berhampiran Universiti Malaya di mana Najib sedang bercakap di suatu dialog bersama pelajar.

Sekumpulan pelajar membawa plakad mengecam dan mengejk Najib lalu beberapa penyokong bersemuka dengan mereka, termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

Lokman dirakam mengoyakkan karikatur badut yang menyerupai Najib, dan berkata dia berhak mengoyakkan kad itu.

Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut mengkritik tingkah laku penyokong Umno itu.

“Umno mesti mengecam tingkah laku seperti samseng itu,” katanya di Twitter.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Pendidikan Maszlee Malik mahu pihak berkuasa menyiasat pergelutan itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

Maszlee berkata universiti bukan tempat untuk samseng, pelampau dan pengganas.

“Mahasiswa jangan malu. Ada beban tanggungjawab yang harus kita pikul untuk masyarakat. Kita harus terus ke depan melawan kebobrokan dan menyatakan kebenaran.”