Program sembang santai Najib dicemari pergaduhan

KUALA LUMPUR: Program sembang santai bekas perdana menteri Najib Razak hari ini dicemari insiden pergelutan antara penyokongnya dan pelajar universiti.

Kejadian berlaku di berdekatan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaysia ketika Najib sedang berucap kepada beberapa pelajar dalam kedai tersebut.

Seramai 6 orang pelajar dilihat berkumpul di seberang jalan sambil melaungkan “penipu” dan “mana RM2.6 bilion?” sambil mengangkat plakad serta kad wajah badut menyerupai Najib.

Ada antara penyokong Najib keluar daripada restoran lalu menghampiri dan mengoyakkan kad yang dipegang pelajar sehingga mencetuskan pergelutan antara satu sama lain.

Antara yang dilihat bersemuka dengan para pelajar adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam. Mereka kemudian dilihat mengusir pelajar-pelajar tersebut.