Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Data IHP terdahulu menunjukkan negara mengalami deflasi, maklumat yang akan diumumkan hari ini penting sebagai penentu sama ada keadaan itu bersifat sementara atau sebaliknya.

KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dagangan dibuka pagi ini ketika para pelabur menunggu pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) oleh Jabatan Perangkaan, hari ini.

Setakat 9 pagi ini, unit tempatan itu berada pada paras 4.0600/0650 berbanding dolar itu yang menyamai angka sewaktu ditutup pada Khamis.

Seorang peniaga berkata memandangkan data IHP terdahulu menunjukkan negara ini mengalami deflasi, maklumat yang akan diumumkan hari ini dilihat penting sebagai penentu sama ada keadaan itu bersifat sementara atau sebaliknya.

“Malah, sejajar keadaan ekonomi global yang perlahan, pelabur sebaliknya menjadi lebih berhati-hati dan teliti sebelum melabur,” katanya.

Maklumat IHP yang diumumkan pada bulan lepas menunjukkan ekonomi Malaysia mengalami deflasi pada Januari 2019 – yang pertama sejak krisis kewangan global pada 2009 apabila harga bahan api jatuh.

Bagaimanapun, katanya, berbanding deflasi pada 2009 yang menyaksikan harga minyak jatuh ke bawah paras US$50 setong, keadaan semasa harga minyak sebaliknya amat stabil iaitu antara AS$67 hingga AS$70.

Setakat 9 pagi ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras dunia, adalah AS$67.66.

Selain itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6659/6708 daripada 3.6745/6801 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6154/6215 daripada 4.6304/6374 pada Khamis.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0087/0129 daripada 3.0125/0167 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3267/3353 daripada 5.3470/3552, semalam.