Saya ada hak koyak karikatur Najib, kata Lokman

Lokman Noor Adam berkata rakyat diberi kebebasan berhimpun tetapi bukan untuk menghina.

KUALA LUMPUR: Lokman Noor Adam berkata dia berhak mengoyak karikatur Najib Razak yang dibawa sekumpulan pelajar yang berhimpun semasa program sembang santai bekas perdana menteri itu tengah hari tadi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, perbuatan penunjuk perasaan itu satu penghinaan terhadap seorang bekas perdana menteri.

“Kita tak kacau pun dia, tapi perbuatan mereka itu mengeji Najib,” katanya kepada pemberita selepas selesai program sembang santai di Restoran Amjal berdekatan Universiti Malaya.

“Ini adalah program Najib dan saya beri peringatan kalau ada yang buat lagi sekali, kita akan buat lagi.”

Lokman menganggap tindakannya wajar kerana tiada penguatkuasa yang akan bertindak terhadap perbuatan penunjuk perasaan itu.

“Kita tak sangka benda macam ini boleh terjadi macam pada pilihan raya kecil Semenyih, mereka melakukan perkara yang sama terhadap Rosmah Mansor,” kata Lokman, merujuk kepada isteri Najib.

“Apabila perkara seperti ini berlaku kita tak payah berunding dan tak boleh anggap penguatkuasa bertindak. Jadi, bila dia datang tunjuk karikatur yang jelik saya koyakkan sahaja.”

Namun apabila Lokman disoal mengenai tindakannya dianggap bertentangan dengan kebebasan bersuara, pemimpin Umno itu tidak bersetuju.

“Adakah tindakan mempamerkan karikatur jelik perbuatan yang boleh diterima? Betul, mereka bebas berhimpun tetapi bukannya menghina,” katanya.

Sementara itu, penganjur program, Saiful Husaini Syafie kecewa dengan “provokasi” sekumpulan pelajar itu, menganggapnya publisiti murahan.

“Mereka datang tadi secara mengejut dan ketika program sedang berlangsung, mereka menjerit di luar. Kita bagi pilihan untuk sertai program tapi mereka yang nak buat kecoh,” katanya.

Beliau berkata provokasi sedemikian tidak berlaku lagi dalam kalangan mahasiswa.

“Kita sudah buat program ini di luar kampus, kenapa mereka perlu datang kacau kami,” katanya.